Jangan jadikan pengunjung kuil mangsa, kata jawatankuasa kepada polis


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Rusuhan di kuil Seafield minggu lepas menyebabkan berpuluh kenderaan dibakar. Polis setakat ini sudah menahan berpuluh suspek berkaitan dengan kejadian tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2018.

PASUKAN Tindakan Khas Selamatkan Kuil Seafield berharap polis berhenti menahan pengunjungnya yang perg memberi keterangan berkaitan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman minggu lalu.

Pengerusinya S Ramaji berkata mereka tidak menghalang atau mahu masuk campur dalam siasatan polis.

“Kami hanya meminta supaya polis tidak menahan dan menyumbat mereka dalam lokap.

“Mereka (polis) tak perlu takutkan mereka, supaya mereka boleh datang dan secara terbuka beri keterangan,” katanya kepada wartawan di kuil yang terletak di Subang Jaya hari ini.

Ramaji berkata sehingga hari ini, 18 pengunjung kuil ditahan selepas pergi ke balai polis untuk memberi keterangan dan 12 keluarga sudah tampil untuk mendapatkan penjelasan status ahli keluarga mereka yang ditahan polis.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis sudah menahan 83 orang berkaitan rusuhan di kuil itu minggu lepas.

Katanya, polis masih mengesan beberapa suspek lain termasuk saksi yang dicari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ramaji berkata keluarga tahanan menghubungi jawatankuasa meminta bertindak.

“Kami tak boleh buat apa-apa, tetapi kami minta polis supaya lebih bertimbang rasa.

“Kami di sini bukannya hendak menganggu siasatan.”

Ahli jawatankuasa A Chandrakumanan berkata polis sepatutnya hanya menahan mereka yang terlibat sekiranya ada bukti kukuh.

“Kami tak membantah atau masuk campur cara kerja polis.

“Tetapi orang tak bersalah yang ditahan. Malah polis lanjutkan pula tahanan reman mereka.”

Chandrakumanan juga menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu tersebut.

“Kerajaan perlu bentuk RCI untuk mencari apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang bertanggungjawab dengan rusuhan itu.

“Apa yang berlaku boleh dianggap menganggu keselamatan negara.” – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen