BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein enggan mengulas pendedahan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berhubung penghantaran pasukan tentera Malaysia ke Arab Saudi tanpa pengetahuan atau kebenaran Kabinet kerajaan sebelum ini.
Penghantaran 27 pegawai dan 62 anggota tentera ke Riyadh pada 2015 berlaku ketika Hishammuddin menjadi menteri pertahanan.
Bagaimanapun, Hishammuddin memberitahu wartawan di Parlimen hari ini Liew sepatutnya bertanya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendedahkan aktiviti kementerian dan kemudian mengubah status dapatan itu.
“Dia (Liew) kata ia tidak dibawa ke Kabinet. Dia patut tanya risikan dalaman kita, tanya MKN, tanya mereka apa yang sebenarnya kita buat.
“Tetapi maklumat itu perlu diklasifikasikan kerana ia kepentingan negara,” katanya.
Ketika didesak untuk menjawab adakah penghantaran anggota tentera itu dibawa ke Kabinet, Hishammuddin berkata Liew sepatutnya tahu peranan MKN.
“Dia perlu tahu apa itu MKN, saya rasa dia tidak tahu kerajaan ini. Saya rasa mereka juga tidak tahu bagaimana hendak jadi menteri,” katanya.
Pada Isnin, Liew mendedahkan bahawa penghantaran tentera pada 2015 dihentikan pada 4 September selepas kerajaan Pakatan Harapan mendapati ia tidak selaras dengan dasar berkecuali Malaysia.
Bagaimanapun, Liew berkata perkara itu hendaklah dibawa ke Kabinet kerana ia melibatkan peruntukan.
Sebanyak RM14 juta telah diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun dan banyak individu yang terlibat, katanya. – 5 Disember, 2018.
Komen