KAPAL layar mewah Equanimity akan mencapai harga sembilan angka bila penjualannya termeterai pada 31 Mac tahun depan, kata pasukan guaman kerajaan yang bertanggungjawab menjual kapal berkait dengan 1MDB itu.
Peguam perkapalan yang dilantik khas, Sitpah Selvaratnam bagaimanapun tidak mendedahkan harga bida, jumlah pembida atau dari negara mana.
“Ia kini memasuki peringkat kedua,” katanya kepada wartawan selepas perbicaraan dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jabatan Komersial) Kuala Lumpur Khadijah Idris. Hadir sama ialah peguam 1MDB Jeremy Joseph.
Dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan kepada media, pasukan guaman itu berkata selepas tarikh tutup pembidaan pada 28 November, sherif Mahkamah Admiralti akan menyemak prosiding di peringkat kedua proses penjualan kehakiman bagi mendapatkan nilai optimum untuk Equanimity.
“Dengan fasa mandatori proses penjualan kehakiman sudah disempurnakan, dengan capaian paling luas dan publisiti dalam pasaran kapal layar mewah dan kepada masyarakat perdagangan secara amnya, sherif akan mendapatkan perintah diperlukan dari mahkamah bagi memulakan fasa kedua jualan oleh perjanjian persendirian, dengan tarikh tutup 31 Mac, 2019,” kata kenyataan itu. – 5 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen