Putrajaya siasat kes penjawat awam digugurkan jawatan PTD, kata PM


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menyiasat kes penjawat awam digugurkan daripada kursus PTD di INTAN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2018.

PUTRAJAYA akan menyiasat kes di mana 52 penjawat awam yang menghadiri kursus khas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) tiba-tiba digugurkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kita siasat perkara ini. Kami tidak mahu sesiapa jadi mangsa dalam usaha kita memotong kos pentadbiran negara,” katanya selepas menghadiri persidangan Persatuan Kakitangan Pos Malaysia di Shah Alam hari ini.

Dilaporkan bahawa empat kakitangan kontrak hilang kerja sementara 48 penjawat awam dipaksa kembali ke tugas pentadbiran mereka yang lama.

Pemberhentian kontrak itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam menaikkan gred kelulusan untuk program pasca graduan Diploma Pentadbiran Awam.

Sumber berkata penjawat awam terbabit dimaklumkan pada Selasa lalu bahawa gred lulus diubah daripada B kepada A- sebelum mereka diberikan surat pemberhentian pada Jumaat dan diarahkan mengosongkan asrama di INTAN.

Program itu bermula pada April dan keputusan menggugurkan mereka pada Oktober.

Kursus 10 bulan itu membabitkan 86 peserta dan mereka yang digugurkan termasuk 31 wanita, 21 lelaki, dengan lima daripadanya pemegang PhD dan 20 ijazah. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen