Malaysia akan ukur sempadan perairan di Johor, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata langkah kerajaan itu bagi menentukan sama ada benar kapal negara menceroboh perairan negara jiran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Disember, 2018.

PUTRAJAYA akan mengukur sempadan wilayahnya di Johor untuk melihat sama ada benar kapal Malaysia menceroboh perairan Singapura di Tuas, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kita perlu mengukur dan melihat sama ada kita telah menceroboh (perairan Singapura) atau kita berada di perairan kita sendiri,” katanya selepas menghadiri persidangan Persatuan Pekerja Pos Malaysia di Blue Wave Hotel di Shah Alam hari ini.

Singapura membuat bantahan terhadap Malaysia berhubung tindakannya memperluaskan had pelabuhan, melanggar kedaulatan dan undang-undang antarabangsa, dengan mengatakan ia tidak akan teragak-agak “mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan dan aktiviti tidak sah”.

Ini berlaku selepas kapal dari Malaysia berulang kali menceroboh perairan Singapura di Tuas sejak dua minggu lalu, termasuk kapal milik Badan Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut.

Semalam, Kementerian Pengangkutan Singapura mengeluarkan kenyataan sejurus selepas Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata Putrajaya akan segera mengeluarkan nota protes ke atas rancangan Singapura menggunakan ruang udara selatan Johor Baru untuk operasi penerbangan di Lapangan Terbang Seletar.

Kementerian Singapura, dalam satu kenyataan, menyatakan “kebimbangan serius” mengenai langkah Malaysia memperluaskan had pelabuhan Johor, yang akan menceroboh perairan Singapura di Tuas.

 Malaysia secara unilateral menerbitkan gazet kerajaan, surat pekeliling pelabuhan dan pelaut pada  Oktober dan bulan lepas, memaklumkan komuniti perkapalan mengenai sempadan baharu yang sepatutnya.

Sebagai tindak balas, Singapura mengeluarkan pekeliling pelabuhannya sendiri pada 30 November, mengarahkan “tuan kapal dan pemilik kapal mengabaikannya.”

Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan mengulangi tindakan memperluaskan had pelabuhan Johor akan menjadi “pelanggaran kedaulatan kami dan juga undang-undang antarabangsa”.

Beliau berkata Singapura mengeluarkan satu nota protes kepada jirannya, meminta agar Malaysia segera meminda wartanya dengan mengambil kira “kebimbangan kedaulatan” negeri itu. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen