“Kami berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan dalam mengejar agenda Melayu. Namun bila cabaran menjadi sukar, ia akan berterusan.”
Ibrahim pada sidang media di Kampung Baru hari ini berkata, kumpulan hak Melayu itu berdepan dengan kekangan kewangan sejak ia ditubuhkan sembilan tahun lalu.
Daripada 700,000 ahli keseluruhannya, hanya 300,000 berdaftar dan ahli berbayar.
“Melayu memerlukan Perkasa, namun bila diminta membayar yuran keahlian RM10, mereka kata tidak mampu.”
Katanya, kerana dana yang terhad, banyak program tidak boleh diteruskan.
“Untuk menganjurkan bengkel atau kongres ia memerlukan wang. Kami perlu menyediakan makanan kepada peserta, sekurang-kurangnya. Itu sahaja memerlukan ribuan ringgit termasuk sewa dewan dan bermacam lagi.
Ibrahim berkata, kumpulan itu mengalu-alukan derma daripada masyarakat dan juga syarikat malah juga parti politik.
“Kami mengalu-alukan derma dan tiada apa-apa ikatan. Kami hanya mahu menyuarakan ketidakpuasan hati dan untuk menasihat serta mengingatkan rakyat mempunyai kuasa (berhubung beberapa isu).
Ibrahim berkata Perkasa dilabel sebagai “musuh” oleh kerajaan dan pembangkang kerana mengkritik parti kedua-dua belah pihak berhubung kegagalan mereka berdepan isu terutamanya yang membabitkan kepentingan Melayu.
“Bila kita kritik kerajaan, mereka kata kita sokong pembangkang. Bila kita kritik pembangkang, kita dilabel sebagai hamba Umno dan (mereka mendakwa kita) mahu ‘dedak’. Tapi apa yang sebenarnya ialah kita tidak memihak kepada sesiapa”.
Tambahnya, penghinaan yang dilemparkan terhadap Perkasa hanya akan menguatkan lagi kumpulan itu.
Ibrahim berkata walaupun berdepan cabaran dan kekangan kewangan, Perkasa akan menganjurkan kursus kepimpinan untuk 200 pemimpin, yang akan menekankan kepada memperkuatkan mereka. – 20 Ogos, 2017.
Komen