PBB gesa Mexico siasat pembunuhan wartawan


Presiden baharu Mexico Andres Manuel Lopez Obrador digesa menjadikan perlindungan kepada wartawan sebagai keutamaan dalam pentadbirannya. – Gambar AFP, 5 Disember, 2018.

PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa Mexico menyiasat pembunuhan Jesus Alejandro Marquez, wartawan ke-10 yang terbunuh tahun ini, di negara yang dianggap paling buruk untuk media.

Marquez, yang mengendalikan laman berita Orion Informativo, hilang pada Jumaat dan ditemui mati pada Sabtu di tepi jalan di bandar Tepic, di barat Nayarit.

Mayatnya ada kesan beberapa peluru.

“Pejabat PBB di Mexico menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan segera terhadap pembunuhan itu dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan,” kata PBB dalam satu kenyataan.

Mayat Marquez ditemui pada hari sama Presiden baharu Mexico Andres Manuel Lopez Obrador mengangkat sumpah.

Kumpulan media berhaluan kanan Reporters Without Borders mendesak pemimpin baharu itu untuk melindungi wartawan sebagai keutamaan dalam pentadbirannya.

Marquez sering membuat laporan tentang hubungan antara pegawai tempatan dan jenayah terancang.

Lebih 100 wartawan dibunuh di negara itu sejak 2000.

Majoriti kes itu tidak selesai – begitu juga 90% jenayah keganasan di Mexico. – AFP, 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen