RAPAT umum Sabtu ini membantah triti hak asasi manusia antarabangsa sudah tidak lagi relevan, kata Mohd Asri Zainal Abidin, tetapi mufti Perlis itu mendukung hak penganjurnya untuk meneruskan perhimpunan.
Asri mempertahankan pendirian awalnya di Facebook bahawa perhimpunan itu sepatutnya ditukar nama kepada “Perhimpunan Survival Umat”. Tujuannya supaya ia menangani isu-isu yang melangkaui Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Asri pemimpin tinggi pihak berkuasa agama yang menyuarakan pandangan mengenai perhimpunan Sabtu ini.
Mufti Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sebelum ini juga memberi pandangan perhimpunan itu wajar dibatalkan kerana kerajaan sudah membuat keputusan tidak meratifikasinya.
Mereka juga bimbang dengan penganjuran perhimpunan itu yang kebetulan berlangsung selepas rusuhan berhubung isu pemindahan sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor yang mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Asri berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) patut membenarkan perhimpunan itu diteruskan kerana barisan menteri dalam Kabinet sekarang sebelum ini memperjuangkan kebebasan bersuara dan berhimpun.
“Seperti saya sebut di Facebook, ICERD tidak akan diratifikasi. Jadi, ia bukan lagi isu tetapi ini negara bebas.
“Banyak ahli politik dalam kerajaan sekarang memperjuangkan kebebasan berhimpun,” kata Asri kepada The Malaysian Insight.

Dalam kenyataannya pada 2 Disember lepas, Asri berkata perhimpunan itu membantah ICERD tidak lagi relevan kerana kerajaan sudah mengumumkan konvensyen berkenaan tidak akan diratifikasi.
Dalam satu kenyataan awal pada 27 November, Asri menggesa penganjurnya menukar perhimpunan itu untuk menyatukan umat Islam demi masa depan.
Ditanya maksud survival bagi umat Islam itu, Asri memberitahu The Malaysian Insight: “Survival tidak semestinya bermakna kita berlawan dengan orang lain. Survival bermaksud apakah hala tuju orang Melayu dan Islam di negara ini ketika mereka ada pelbagai masalah.
“Kalau ia perhimpunan aman dan orang menunjukkan perasaan dengan aman, kita patut benarkan.
Perhimpunan 8 Disember ini pada mulanya dicadangkan untuk membantah cadangan kerajaan meratifikasi ICERD. Selepas Putrajaya mengumumkan cadangan itu batal, penganjurnya yang terdiri daripada badan Melayu dan Islam berkata mereka akan meneruskan sebagai perhimpunan kesyukuran.
Perhimpunan itu juga disokong parti pembangkang Umno dan PAS yang melihat isu ICERD sebagai nafas baru nasib politik mereka dengan menekankan isu kaum dan agama.
Bagi Asri, Malaysia tidak perlu meratifikasi ICERD.
“Kandungan ICERD bagus daripada segi prinsip tetapi dalam konteks Malaysia, kandungannya telah dibuat (di Malaysia).”
Asri membandingkan rekod hubungan antara kaum Malaysia dengan China dan India, dua negara yang sudah menandatangani ICERD.
“India dan China sudah tandatangani ICERD tetapi bagaimana mereka melayan etnik minoriti?”
Parti pemerintah India, BJp didakwa mengabaikan penindasan ke atas kumpulan minoriti Islam manakala kerajaan komunis China berulang kali mencabul hak asasi manusia kumpulan etnik Uighur dan penganut Kristian.
“Malaysia tidak menandatanganinya tetapi rekodnya lebih baik daripada India, China dan banyak negara lain dalam soal layanan terhadap etnik minoriti,” kata Asri. – 5 Disember, 2018.
Komen