INDONESIA menyiasat laporan mengatakan 31 pekerja binaan ditembak mati oleh pemberontak pemisah di wilayah bergolak Papua, kata menteri kerja raya hari ini.
Jika laporan tersebut benar, ia merupakan keganasan paling dahsyat di rantau yang sekian lama berada dalam pemberontakan kemerdekaan.
“Kami semua terkejut dan sedih mendengar laporan media pagi tadi.
“Semua kerja akan ditangguhkan (di kawasan itu) susulan insiden ini,” kata Menteri Budi Hadimuljono kepada pemberita di Jakarta.
Pekerja-pekerja syarikat kontraktor Istaka Karya sedang membina jambatan dan jalan raya sebagai sebahagian daripada usahan untuk meningkatkan infrastruktur di rantau miskin itu.
Memetik seorang pegawai polis tempatan, media Indonesia semalam melaporkan pekerja berkenaan ditembak mati pada Ahad lalu di Nduga, sebuah daerah di tengah rantau barat separuh kepulauan New Guinea, di utara Australia.
Menurut laporan, pembunuhan itu dikatakan dilakukan oleh pemberontak yang memimpin pemberontakan selama berdekad terhadap pemerintahan Indonesia. Indonesia menyalahkan puak pemisah atas keganasan di Papua.
Beberapa pekerja dilaporkan berjaya melarikan diri dari serangan tembakan yang didakwa dicetuskan oleh pemisah yang marah dengan pekerja yang mengambil gambar aktiviti pro-kemerdekaan Papua. – AFP, 4 Disember, 2018.
Komen