150 wanita, kanak-kanak mangsa rogol Sudan selatan minta bantuan PBB


Lebih 150 wanita dan kanak-kanak perempuan yang dirogol atau mengalami keganasan seksual lain di Sudan Selatan tampil memohon bantuan PBB sejak 12 hari lepas. – Gambar fail EPA, 4 Disember, 2018.

LEBIH 150 wanita dan kanak-kanak perempuan yang dirogol atau mengalami keganasan seksual lain di Sudan Selatan tampil memohon bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 12 hari lepas.

Menurut kenyataan bersama tiga agensi PBB, sekumpulan lelaki bersenjata, kebanyakannya memakai pakaian seragam, melakukan keganasan itu berhampiran bandar Bentiu yang terletak di bahagian utara Sudan Selatan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Henrietta Fore, yang mengetuai agensi kanak-kanak PBB iaitu UNICEF, ketua agensi bantuan PBB Mark Lowcock dan pengarah Dana Penduduk PBB Natalia Kanem.

Ketiga-tiga agensi mengutuk “semua perbuatan ganas ini” dan menggesa pihak berkuasa Sudan Selatan memastikan pelaku diheret ke muka pengadilan.

Doktor Tanpa Sempadan (MSF) minggu lepas berkata sejumlah 125 wanita dan kanak-kanak telah dirogol ketika berjalan ke pusat pengagihan makanan kecemasan yang diwujudkan oleh agensi bantuan antarabangsa.

Terjerumus ke dalam kancah peperangan sejak 2013, Sudan Selatan menyaksikan pelbagai tahap keganasan seksual yang mengerikan.

Pada separuh pertama 2018, sejumlah 2,300 kes dilaporkan dan majoriti daripadanya menyasarkan golongan wanita serta kanak-kanak perempuan.

Lebih 20% mangsa adalah kanak-kanak, menurut kenyataan PBB.

Ketiga-tiga agensi berkata jumlah sebenar kes rogol adalah lebih tinggi kerana keganasan sedemikian jarang dilaporkan.

Selain dirogol, MSF berkata ramai mangsa telah “dipukul, dibelasah atau dihentak dengan kayu dan bontot senapang” selain pakaian, kasut, wang dan kad catuan bagi mendapatkan bantuan makanan mereka disamun.

“Sepanjang lebih tiga tahun bekerja di Sudan Selatan, saya tidak pernah melihat peningkatan mendadak seperti ini dalam jumlah mangsa keganasan seksual yang datang ke program kami untuk mencari rawatan perubatan,” kata Ruth Okello, seorang bidan MSF di Sudan Selatan.

Bulan lepas, laporan panel pakar PBB kepada Majlis Keselamatan badan dunia itu menyebut bahawa terdapat “tahap yang mencemaskan” dalam keganasan seksual dan penyalahgunaan hak asasi manusia di Sudan Selatan.

Majlis itu dijangka membincangkan krisis di Sudan Selatan pada 18 Disember. – Bernama, 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen