Uruguay tolak permohonan suaka bekas presiden Peru


Hasil siasatan Uruguay mendapati kes Alan Garcia bukanlah satu penganiayaan politik seperti didakwa bekas pemimpin Peru tersebut. – Gambar EPA, 4 Disember, 2018.

KERAJAAN Uruguay menolak permohonan suaka dikemukakan oleh bekas Presiden Peru, Alan Garcia.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden Tabare Vazquez dalam sidang media pada pagi Isnin. Beliau diiringi Menteri Hal Ehwal Luar Uruguay, Rodolfo Nin Novoa.

“Kami tidak akan memberikan suaka politik kepada Alan Garcia,” kata Vazquez sambil menambah bahawa beliau telah mengkaji semula kes itu, yang menjadi perhatian sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau juga mengesahkan pentadbirannya telah membaca dan meneliti dokumen-dokumen yang dihantar oleh kerajaan Peru beberapa hari lepas.

Selain itu, Vazquez berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan perundangan semata-mata.

Oleh itu, hasil siasatan mendapati kes Garcia bukanlah satu penganiayaan politik seperti yang didakwa bekas pemimpin Peru tersebut.

Di Lima, Menteri Hal Ehwal Luar Peru, Nestor Popolizio, berkata Garcia meninggalkan kediaman Duta Uruguay, Carlos Barros, selepas dimaklumkan keputusan itu.

Pada 17 November, seorang hakim Peru membenarkan permohonan Pendakwa Raya Jose Domingo Perez untuk melarang bekas presiden itu meninggalkan negara Inca tersebut selama 18 bulan.

Pada hari yang sama, Garcia memasuki kediaman Duta Uruguay dengan tujuan memohon suaka.

Wakil Hal Ehwal Luar berkata meskipun Garcia dilarang meninggalkan Peru, beliau boleh bergerak dengan bebas di seluruh negara itu.

Mengulas situasi terkini, setiausaha peribadi Garcia, Ricardo Pineda, berkata bekas presiden itu tidak berhasrat memohon suaka politik di kedutaan lain.

Pineda mengesahkan Garcia meninggalkan kediaman Barros selepas dimaklumkan mengenai penolakan permohonan suakanya.

Seperti diketahui umum, gergasi pembinaan Brazil yang diselubungi skandal rasuah, Odebrecht, didakwa memberi suapan untuk mendapatkan kontrak Lima Metro Line 1 semasa Garcia menjadi presiden Peru bagi tempoh 2006 hingga 2011.

Garcia menjadi presiden Peru sebanyak dua kali, iaitu bagi tempoh 1985 hingga 1990 dan 2006 hingga 2011. – Bernama, 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen