AHMAD Zahid Hamidi mempertikaikan bagaimana Liew Chin Tong boleh membuat kesimpulan bahawa Kabinet terdahulu tidak meluluskan Ops Yaman 2 yang menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia dihantar ke Arab Saudi.
Bekas timbalan perdana menteri itu bertanya adakah timbalan menteri pertahanan itu berada dalam mesyuarat Kabinet ketika perbincangan mengenai Ops Yaman 2 diadakan.
“Saya nak tanya terlebih dulu, adakah beliau (Liew) terbabit dalam mesyuarat Kabinet itu?” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Zahid tidak mahu mengulas perkara itu lebih lanjut.
Semalam, Liew berkata Kabinet tidak meluluskan penghantaran pasukan ATM untuk membantu operasi ketenteraan di Yaman.
Beliau berkata penghantaran sejak 2015 itu dihentikan pada 4 September selepas kerajaan Pakatan Harapan melihat ia tidak selaras dengan dasar berkecuali Malaysia.
Beliau turut menganggarkan 700 rakyat Malaysia masih berada di Yaman.
“Pada asalnya, ATM dihantar untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman, tetapi misi itu berubah kepada membantu gabungan tentera Arab Saudi menentang Yaman.
“Ini bertentangan dengan dasar luar negara yang tidak masuk campur dalam konflik negara lain, dan pembabitan Malaysia hanya menerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya dalam sesi soal jawab ketika menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) yang mahu tahu tugas tentera Malaysia berpangkalan di Riyadh.
Sementara itu, berkenaan himpunan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Zahid sekali lagi berkata ia bertujuan untuk menunjukkan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meratifikasi konvensyen itu.
Zahid berkata himpunan itu juga tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu perkauman.
“Saya mewakili rakan-rakan dalam Umno dan PAS, akan meneruskan himpunan itu dan ia sepatutnya diasingkan daripada isu perkauman.
“Himpunan itu bagi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keputusannya tidak meratifikasi ICERD,” kata Zahid. – 4 Disember, 2018.
Komen