KIRA-KIRA 28,000 rakyat Syria pulang dari Jordan sejak sempadan antara kedua negara Arab itu dibuka semula pada pertengahan Oktober, kata sumber keselamatan Jordan pada Isnin.
Amman menganggarkan ia menerima hampir 1.3 juta pelarian dari negara jirannya sejak perang di Syria meletus pada Mac 2011, dan membelanjakan lebih AS$10 bilion sebagai tuan rumah.
Kira-kira 650,000 pelarian Syria berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Jordan.
Sumber keselamatan, yang bercakap dengan AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, mengatakan sejak sempadan Jordan-Syria dibuka semula pada 15 Oktober “sekitar 28,000 orang Syria pulang ke tanah air secara sukarela”.
“Mereka termasuklah sekitar 3,400 rakyat Syria yang didaftarkan sebagai pelarian dengan PBB.”
Dikenali sebagai Jaber di sebelah Jordan dan Nassib di Syria, sempadan itu merupakan laluan perdagangan utama Timur Tengah dan pembukaannya semula selepas ditutup selama tiga tahun lalu dilihat sebagai suatu rahmat bagi ekonomi kedua-dua negara.
Ia ditutup apabila pemberontak yang menentang rejim Syria menguasainya pada April 2015. – AFP, 4 Disember, 2018.
Komen