TEMPOH bulan madu sudah berakhir, dan persatuan sivil mengkritik cara kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengendalikan isu kuil kerana menggunakan undang-undang penindasan sama yang dikecamnya ketika di bawah rejim sebelum ini.
Kritikan itu susulan kerajaan baharu Dr Mahathir Mohamad melanggar satu lagi manifesto pilihan raya dengan menarik balik moratorium terhadap undang-undang seperti Akta Hasutan dan keselamatan, dalam menangani keganasan yang berlaku dalam insiden rusuhan di sebuah kuil di USJ 25, Subang Jaya.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya berkata penggunaan undang-undang yang menindas dalam menangani insiden di kuil Sri Maha Mariamman Seafield amat “membimbangkan” dan mengkhianati masyarakat umum.
“Bila moratorium itu dilaksanakan, ia dengan niat untuk dimansuhkan.
“Dengan menarik balik moratorium itu, kerajaan mengkhianati janjinya kepada umum, menjadikan pemansuhan undang-undang itu pada masa akan datang, tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Latheefa berkata pentadbiran baharu perlu sedar bahawa undang-undang itu membenarkan kuasa digunakan sewenang-wenangnya.
“Atas dasar ini saja mereka sepatutnya memansuhkan kerana kerajaan pada masa depan mungkin menggunakannya bukan saja untuk kes seperti rusuhan kuil itu tetapi terhadap pesaing politik dan mereka yang berbeza pendapat,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam) Lim Wei Jiet berkata tindakan Putrajaya yang berterusan menggunakan undang-undang itu melanggar integriti dan kredibiliti dalam membina Malaysia Baharu.
Kabinet menarik balik moratorium terhadap Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) bagi membolehkan polis menyiasat rusuhan yang berlaku di kuil di Subang Jaya, Selangor minggu lalu.

Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo, turut ditahan polis pada Khamis di bawah Akta Hasutan kerana didakwa memuat naik video berkenaan isu kuil itu di laman Facebook miliknya.
Lim berkata terdapat peruntukan yang mencukupi dalam undang-undang negara untuk menangani situasi di kuil itu, tanpa perlu menggunakan undang-undang keselamatan.
“Hakam menyokong hasrat kerajaan untuk mengembalikan kedalaman dan ketenteraman awam, dan untuk mereka yang mencetuskan kebencian kaum dan merusuh perlu dihukum mengikut undang-undang.
“Namun, kerajaan sekarang tidak perlu mengikut langkah pentadbiran terdahulu dengan menggunakan undang-undang menindas dalam menangani keadaan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Antara undang-undang penahanan, Hakam berkata POCA dan SOSMA memberikan kuasa luas kepada pihak berkuasa untuk menahan seseorang untuk tempoh panjang tanpa perbicaraan dan tidak diberikan pengawasan kehakiman.
Lim berkata peruntukan sedia ada bagi reman sehingga 14 hari di bawah Kanun Acara Jenayah, dan menyalurkan lebih banyak sumber ke agensi berkaitan untuk mempercepatkan siasatan, adalah langkah wajar untuk menangani masalah itu.
“Lebih pula, Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 CMA terlalu luas dan terdedah dengan salah guna di bawah rejim terdahulu,” katanya, menambah penggunaan POTA tidak perlu memandangkan kekecohan di kuil itu tiada kaitan dengan keganasan.
“Ketenteraman awam dan hak asasi manusia boleh wujud seiring, dan kerajaan ini perlu membuktikan inilah cara untuk Malaysia maju ke depan.”
Sementara itu, Pengarah Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Sonia Randhawa berkata penangguhan Kabinet terhadap moratorium itu satu langkah ke belakang, memberikan tanggapan bahawa ada keperluan berterusan terhadap perundangan penjajah itu.
“Keadaan di Malaysia tegang sekarang dan perlu lebih berhati-hati bagi memastikan keamanan dikekalkan.
“Pada waktu seperti inilah, lebih penting untuk tindakan polis diasingkan daripada tindakan politik.
“Memandangkan mereka komited untuk memansuhkan Akta Hasutan, tindakan itu pada masa ini khususnya amat membimbangkan,” katanya. – 4 Disember, 2018.
Komen