Ketua CIA beri taklimat pembunuhan Khashoggi


Pengarah CIA Gina Haspel bersetuju memberi taklimat kepada beberapa jawatankuasa Senat mengenai pembunuhan Jama Khashoggi. – Gambar EPA, 4 Disember, 2018.

PENGARAH Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel bersetuju memberi taklimat kepada satu “kumpulan kecil” penggubal undang-undang AS mengenai pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi, kata ketua Senat jawatankuasa hubungan luar pada Isnin.

Taklimat itu akan berlangsung pada jam 11:00 pagi (1600 GMT), Senator Bob Corker memberitahu wartawan, selepas ia gagal mengambil bahagian ketika Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan Jim Mattis bercakap kepada senator mengenai isu itu minggu lepas.

Agensi perisikan itu membuat kesimpulan yang Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman “mungkin mengarahkan” pembunuhan Khashoggi pada 2 Oktober oleh pasukan Arab Saudi di konsulat negara di Istanbul, Turki, lapor The Wall Street Journal.

Wartawan veteran itu adalah pengkritik kuat Putera Mohammed dan bermastautin di Amerika Syarikat serta menulis mengenai politik di Arab Saudi dan Timur Tengah bagi The Washington Post.

Kedua-dua media itu dan The New York Times melaporkan CIA mempunyai bukti Putera Mohammed saling berbalas 11 mesej dengan pembantunya Saud al-Qahtani, yang didakwa mengawasi pembunuhan itu, sebelum dan sesudah ia berlaku.

The Times melaporkan pada Isnin Haspel marah dengan kebocoran hasil siasatan CIA, yang meningkatkan tekanan kepada White House untuk mengambil tindakan tegas terhadap kuasa besar di Timur Tengah.

Memandangkan hubungan dengan Riyadh yang tegang, Presiden Donald Trump enggan menerima kesimpulan yang pewaris takhta Arab Saudi membenarkan pembunuhan tersebut, dan mengatakan tiada bukti langsung mengenainya.

“Boleh jadi putera mahkota mungkin mengetahui peristiwa tragis ini - mungkin beliau terlibat dan mungkin juga tidak!” kata Trump dalam satu kenyataan pada 20 November. – AFP, 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen