MAYAT mendiang presiden Amerika Syarikat (AS) ke-41 George H.W. Bush dilbawa ke Washington pada Isnin bagi memberi peluang kepada rakyat memberikan penghormatan terakhir.
Bush, bekas juruterbang jet pejuang Perang Dunia II dan bekas ketua CIA yang berkhidmat sebagai naib presiden kepada Ronald Reagan sebelum memenangi White House, meninggal dunia Jumaat pada usia 94 tahun, di rumahnya di Houston.
“Daripada Perang Dingin dan kejatuhan Kesatuan Soviet, beliau memastikan kita terus berada pada landasannya. Apabila peraturan undang-undang diperlukan untuk mempertahankan Teluk Parsi, beliau memastikan kita melakukan apa sepatutnya,” kata pemimpin Senat, Mitch McConnell.
McConnell memuji Bush - yang menduduki White House dari 1989 hingga 1993 - sebagai seorang patriot yang mentadbir negara dengan jujur.
Presiden kedua yang melihat anaknya mengikut jejak langkah sebagai presiden, Bush akan diberi penghormatan selama empat hari di Washington dan Texas, lokasi mayatnya disemadikan pada Khamis.
“Sepanjang hayatnya, Presiden Bush memiliki pesona menakjubkan. Perwatakan yang ada padanya sukar ditemui. Beliau berada pada tahap tertinggi pentadbiran dengan penuh rasa rendah diri,” kata Speaker Dewan, Paul Ryan. – AFP, 4 Disember, 2018.
Komen