KERANI syarikat logistik Mohamad Nor Mohamad Jaafar menghabiskan hujung minggu tiga hari di Perlis supaya beliau dapat mendengar sendiri ceramah disampaikan pendakwah Islam Dr Zakir Naik.
Lelaki berusia 30 tahun itu mengikuti laman sesawang video Zakir dan mendengar rakaman ceramahnya tetapi ketika mengetahui pendakwah dari India sedang dalam lawatan di Perlis, peluang itu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
“Saya tinggal di rumah mertua saya pada hujung minggu dan mengambil cuti pada Isnin supaya saya dapat mendengar semua ceramahnya,” kata Nor, yang mengambil cuti semalam untuk menghadiri ceramah Zakir pada hujung minggu.
Nor adalah seorang daripada 500 hadirin pada syarahan malam tadi di Masjid Al-Rahmaniah di Kuala Perlis, yang ketiga dalam siri empat bahagian jelajah Perlis oleh Zakir.
Sama seperti ceramah lain, hadirin terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti bekas pegawai kerajaan dari Perlis, profesional Melayu-Islam berbahasa Inggeris yang mengajar di universiti dan kolej, guru dan pelajar dari tahfiz tempatan serta pelajar tempatan dan asing dari Universiti Malaysia Perlis.
Nor mewakili peminat golongan dan kelas pertengahan Zakir di Malaysia, walaupun pada hakikatnya penceramah berusia 53 tahun itu turut dicurigai oleh rakyat Malaysia bukan Islam.
Pemimpin Kristian dan Hindu, serta aktivis hak asasi manusia melancarkan kempen yang tidak berjaya untuk menghantarnya pulang ke tanah air India yang diburu atas pelbagai tuduhan jenayah.
Pada Februari, Mahkamah Tinggi menolak saman oleh aktivis agar kerajaan mengisytiharkan Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan menangkap serta mengusirnya dengan segera.
Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir boleh berada di Malaysia selagi tidak menimbulkan masalah.
Nor tidak mempercayai kontroversi Zakir dengan orang bukan Islam.
“Saya telah melihat videonya di Internet. Dia tidak memperkecilkan agama lain. Beliau bercakap tentang mereka tetapi berdasarkan apa yang ditulis dalam kitab suci mereka.
“Saya tidak pernah melihatnya mengutuk agama lain. Sekiranya beliau berbuat demikian, saya sendiri tidak akan melihatnya, kerana Islam mengajar kita agar tidak menghina agama lain,” kata Nor.
Malam tadi, Zakir memfokuskan bagaimana umat Islam lemah dan tidak bersatu kerana mereka tersasar daripada prinsip Islam.

Zakir berkata umat Islam dipisahkan kerana terlalu mudah dikuasai dengan wang, kuasa dan kemasyhuran.
Bagi pelajar PhD dari Nigeria, Shamsuddeen Mohamad, kemampuan Zakir menghafal al-Quran dan hadis menarik perhatiannya.
“Beliau menyampaikan kuliahnya dengan baik dan menyokong hujahnya dengan merujuk kepada bukti dalam al-Quran,” kata lelaki berusia 33 tahun dari Universiti Malaysia Perlis.
Ahli jawatankuasa masjid Al-Rahmaniah, Ramli Berahan berkata Zakir adalah tokoh agama peringkat antarabangsa yang memberikan ceramah di masjid itu.
“Apabila hujan turun sebelum program kami, kami bimbang hanya segelintir orang yang akan muncul. Tetapi menjelang malam, dewan utama penuh dengan hadirin.
“Ada penduduk setempat di kalangan penonton dan juga peminatnya, yang mengikutinya dari Kangar. Beliau bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi masih ramai yang ingin terus bersama dan mendengar.”
Pakar perubatan Maryam Abdullah menaiki feri dengan rakan dari Langkawi untuk melihat Zakir di Perlis.
“Saya fikir beliau seorang guru yang baik, kerana beliau berfikiran luas dan mahu umat Islam terlibat dengan dunia luar,” kata Maryam, yang berasal dari Jerman.
“Umat Islam di Malaysia cenderung melihat ke dalam tetapi Zakir mahu mereka melihat ke luar dan terlibat dengan dunia moden. Saya mendapati ia menarik.” – 4 Disember, 2018.
Komen