Aktivis pro-autonomi waspada dengan minat Dr Mahathir di Sarawak


Bede Hong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan parti Bersatu di negeri Sarawak hujung minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2018

PENYOKONG pro-autonomi Sarawak berkata rakyat di negeri itu berwaspada dengan janji yang dibuat oleh kerajaan persekutuan, kerana negeri itu sudah menunggu sejak berdekad lalu bagi Putrajaya untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memindahkan kuasa kepadanya.

“Kita teah menunggu sejak sekian lama, termasuk oleh kerajaan persekutuan sebelum ini. Kerajaan baharu mungkin menjanjikan harapan baru, jadi berapa lama lagi kami perlu tunggu?” kata pemimpin Solidariti Anak Sarawak (SAS) Peter John Jaban.

Peter berkata, janji Putrajaya akan diambil serius, kerajaan persekutuan perlu kembali kepada MA63 dan kembalikan hak sepatutnya kepada rakyat Sarawak.

“Kerajaan persekutuan boleh bercakap apa yang mereka mahu tentang membangunkan Sarawak, tetapi kita tahu kenyataan itu hanya untuk menyedapkan hati rakyat,” katanya.

“Perkara sebenar adalah sentiasa mengenai sama ada MA63 akan diberi perhatian.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang berada di Bintulu seoanang hujung minggu lalu, memberitahu pemberita yang Putrajaya akan terus membangunkan Sarawak tanpa mengira siapa yang menerajui kerajaan negeri dan beliau turut berharap kerajaan Sarawak ” tidak terlalu mendesak berhubung royalti minyak kepada negeri itu”.

Dr Mahathir yang juga pengerusi parti komponen Pakatan Harapan, Bersatu, berkata partinya yang beursia dua tahun itu juga mampu menumbangkan kerajaan Sarawak yang diterajui Gabuungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri 2021.

Bersatu secara rasminya memasuki arena politik Sarawak pada minggu lalu. Penganalisis politik berkata, parti itu akan berdepan cabaran untuk memenangi sokongan Melayu dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang merupakan ahli GPS.

GPS, yang terdiri daripada empat parti komponen Barisan Nasional, ditubuhkan selepas pilihan raya 9 Mei.

Bekas Adun Batu Lintang yang juga peguam kepada gerakan pro-autonomi Sarawak for Sarawakians (S4S), Voon Lee Shan berkata prospek PH Dr Mahathir untuk mengambil alih kerajaan negeri adalah suram, kerana beliau percaya pakatan itu akan meneruskan tindakan merayu untuk meminda Ordinan Minyak dan Perlombongan (OMO) 1958 yang membolehkan Petronas mempunyai hak eksklusif kepada minyak dan gas di negeri itu.

Voon berkata, perlembagaan negeri juga mungkin akan dipinda dalam jangka masa panjang, bagi membenarkan rakyat Semenanjung yang menetap di Sarawak menubuhkan pejabat politik.

“Lebih banyak tanah dan pelabuhan strategik akan diisytiharkan sebagai wilayah persekutuan atau di bawah kawalan persekutuan. Sebagai contoh, Pihak Berkuasa Pembangunan Bintulu.

“Lebih banyak tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akan diambil oleh syarikat mega dari Malaya dan lebih banyak kes akan dibawa ke mahkamah. Pemilik NCR boeh menang di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan tetapi tidak mungkin menang di mahkamah persekutuan,” katanya.

“Para hakim kebanyakannya dari Barat dan tiada apa yang dapat menghalang mereka untuk meberi penghakiman dasar untuk menyatakan tanah berkenaan tidak boleh terbiar dan syarikat perlu dibenarkan untuk membangunkan tanah NCR. Tanah itu adalah milik Dayak tetapi mereka aka dihalang menikmati tanah mereka sendiri,” tambah Voon.

Gerakan S4S yang tujuannya diterima oleh mantan ketua menteri Adenan Satem, menyeru supaya Sarawak diiktiraf sebagai wilayah dan bukan negeri persekutuan.

Sarawak, bersama Sabah, juga cuba mendapatkan kenaikan royalti minyak daripada 5% kepada 20%. Kedua-dua negeri berkenaan menyumbangkan kira-kira 60% daripada sumber minyak negara.

Kerajaan Sarawak turut menggesa pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 bagi membenarkan ia memiliki gerusi minyaknya sendiri dan syarikat eksplorasi.

Kerajaan negeri juga mahu mengawal cukai dan kewangannya sendiri dan diberi hak untuk meminjam kredit mereka sendiri. PH telah berjanji 50% daripada hasil cukai yang dikutip dari negeri-negeri Borneo akan dibelanjakan untuk keperluan pembangunan.

Sarawak juga berusaha untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bagi pentadbiran mahkamah, dewan undangan negeri dan sekolah. Ia juga mahu mengekalkan sekularisme dengan tidak mempunyai agama rasmi, membuat sukatan pelajaran pendidikannya sendiri dan untuk mengambil penduduknya sendiri untuk kebanyakan jawatan perkhidmatan awam. – 3 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen