KERAJAAN Perancis buat masa sekarang tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan darurat disebabkan bantahan “jaket kuning” yang menyebabkan kekecohan dan kemusnahan di Paris hujung minggu lalu, kata Menteri Dalam Negeri Muda Laurent Nunez hari ini.
“Ia salah satu pilihan yang ada, tetapi buat masa sekarang ia belum dipertimbangkan,” kata Nunez kepada radio RTL, selepas desakan beberapa kesatuan polis untuk menambah kuasa bagi mengekang perusuh.
Darurat diisytiharkan selepas rusuhan seluruh negara pada 2005 oleh kumpulan belia miskin bandar dan selepas serangan pengganas Islam di Paris pada November 2015.
Kebanyakan peruntukan termasuklah menambah langkah pemeriksaan pengenalan diri dan sekatan terhadap perhimpunan awam dimasukkan dalam undang-undang keselamatan baharu yang dicadangkan Presiden Emmanuel Macron ketika darurat dibatalkan tahun lepas.
Beberapa penunjuk perasaan “jaket kuning” sudahpun mendesak rusuhan ketiga di Paris pada Sabtu, walaupun keganasan yang tercetus hujung minggu menyebabkan berpuluh kenderaan dibakar dan kedai dirosakkan.
Ditanya tentang kemungkinan bantahan akan datang bakal diharamkan, Nunez berkata: “Kita perlu berupaya menghentikannya, kerana ia digerakkan oleh orang yang bersungguh-sungguh.”
Beliau mendakwa sejumlah penunjuk perasaan pada Sabtu lepas “jelas sekali berhasrat mahu membunuh” memetik rampasan tukul dan bola besi daripada 412 orang yang ditahan serta kejadian seorang pegawai polis nyaris dibelasah sampai mati berhampiran tugu perang Arc de Triomphe.
Kerajaan mengadakan perbincangan hari ini dengan pemimpin parti politik lain tentang langkah mengekang rusuhan yang tercetus bulan lepas selepas berbulan-bulan kemarahan mula membara di seluruh negara disebabkan peningkatan cukai minyak. – AFP, 3 Disember, 2018.
Komen