80 Taliban maut dalam operasi tentera Afghanistan


Anggota tentera Afghanistan memeriksa kenderaan orang awam di Kabul selepas memperhebatkan operasi memerangi pemberontak.– Gambar EPA, 3 Disember, 2018

PASUKAN tentera Afghanistan membunuh 80 anggota Taliban dalam operasi memerangi pemberontak yang dilancarkan sejak dua hari lalu di wilayah utara Balkh dan timur Ghazni. 

Seramai 50 militan terbunuh di daerah Chamtal, Charbolak dan Dawlat Abad di wilayah utara Balkh manakala lebih 70 yang lain cedera, kata jurucakap kerajaan wilayah Munir Ahmad Farhad pada Isnin.

Senjata dan kubu persembunyian pemberontak turut dimusnahkan, lapor agensi berita Xinhua. 

Operasi akan dijalankan sehingga semua saki baki pemberontak dihapuskan, katanya tanpa mendedahkan jumlah anggota tentera yang cedera.

Sementara itu kenyataan tentera menyebut, kira-kira 30 militan terbunuh dan cedera ketika operasi memerangi pemberontak dijalankan di kawasan Rasana di daerah Jaghori di timur Ghazni. 

Setakat ini pasukan kerajaan berjaya menawan semula beberapa buah kampung. – Bernama, 3 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen