WARTAWAN portal berita mengkritik Presiden Filipina Rodrigo Duterte membayar ikat jaminnya secara tunai atas pertuduhan menipu percukaian di mana beliau berkata ia usaha untuk menakut-nakutkan penerbitannya.
Laman web Rappler yang diterajui oleh Maria Ressa berdepan tindakan ditutup oleh kerajaan berikutan artikelnya yang mengkritik Duterte, khususnya berkenaan perang terhadap dadah yang menyebabkan ribuan terbunuh.
Ressa menyerah diri di mahkamah di Manila hari ini, membayar AS$1,100 ikat jamin dan diperintahkan kembali ke mahkamah pada Jumaat untuk pertuduhan bahawa Rappler menyediakan maklumat palsu kepada pihak berkuasa percuaian.
“Pertuduhan itu bermotifkan politik dan ia direka-reka,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah.
“Rappler membayar cukai yang betul.”
Ramai mengutuk pertuduhan itu, di mana kes pertuduhan difailkan kerajaan terhadap Rappler dan Ressa dibuat minggu lalu ketika Ressa tiada di dalam negara.
Pertuduhan itu sebahagian daripada kempen pentadbiran Duterte untuk mengganggu, mengugut dan mengancam pengkritik, kata penyelidik pemantau hak asasi manusia Filipina, Carlos Conde.
“Serangan terhadap Rappler konsisten dengan cara pentadbiran Duterte mengugut pengkritik perang dadah yang lain,” katanya.
Duterte menepis kritikan terhadap kempennya untuk menghapuskan dadah di negara itu, di mana polis berkata ia menyebabkan hampir 5,000 individu dipercayai pengedar dan penagih dadah terbunuh apabila melawan ketika ditangkap. – AFP, 3 Disember, 2018.
Komen