Presiden Nigeria nafi sudah meninggal dunia


Presiden Nigeria Muhammadu Buhari berkata beliau belum meninggal dunia dan menafikan khabar angin tempatnya diganti individu berwajah serupa. – Gambar EPA, 3 Disember, 2018.

PRESIDEN Nigeria Muhammadu Buhari menepis khabar angin mengatakan beliau sudah meninggal dunia akibat penyakit yang dialami dan tempatnya diganti oleh individu berwajah serupa dari Sudan, kata jurucakapnya.

“Ini diri saya sebenar, saya jamin. Saya akan menyambut ulang taun ke-76 dan saya masih sihat,” kata Buhari ketika mengadakan pertemuan dengan rakyat Nigeria di Poland, pada sidang kemuncak iklim UN COP24 di Katowice.

Beliau menjawab soalan berulang-kali daripada hadirin berhubung dakwaan sama yang tersebar di Twitter, Facebook dan YouTube – iaitu pemimpin negara paling ramai penduduk itu seorang penyamar dikenali sebagai Jubril.

“Ramai berharap saya meninggal dunia ketika saya sakit. Ada yang cuba menghubungi naib presiden memohon dipertimbangkan sebagai timbalan kerana mereka menyangka saya sudah meninggal dunia,” kata Buhari berdasarkan kenyataan yang ditandatangani jurucakapnya, Garba Shebu.

Beliau menyifatkan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu sebagai orang yang jahil dan tidak beriman.

Buhari yang akan berdepan pilihan raya tahun depan, menghabiskan kebanyakan waktunya pada 2017 menerima rawatan di London dan ia tidak pernah didedahkan kepada orang ramai.

Kekurangan maklumat terperinci berhubung penyakit yang dihidapnya, keadaan yang lemah dan kurangnya penampilan di khalayak ramai menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung kesihatannya.

Tuntutan terhadap identiti presiden itu dibuat selepas sebulan beliau kembali dari London. Pihak yang menyebar khabar angin itu adalah kumpulan pengkritik presiden dan kerajaan. – AFP, 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen