YAYASAN Sabah akan mengambil alih kawalan ke atas aspek penebangan, pembelian dan penjualan kayu balak di Sabah yang merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negeri menerusi rombakan operasi industri pembalakan.
Ketua Menteri Mohd Shafie Apadal berkata, beliau sudah mengarahkan peguam besar Sabah untuk meneliti undang-undang sedia ada bagi memperkasa agensi berkaitan kerajaan dengan tanggungjawab baharu itu.
Tindakan itu juga akan menghentikan sebarang bentuk monopoli konsesi ke atas unit pengurusan hutan negeri.
“Kerajaan mahu menghentikan amalan mengeluarkan konsensi kepada syarikat swasta kerajaan terdahulu yang mengawal pengeluaran, pembelian dan penjualan kayu balak,” katanya pada majlis pelancaran Dasar Perhutanan Sabah 2018 di Sandakan hari ini.
“Ada syarikat yang diberikan macam monopoli. Mereka menebang balak, menetapkan harga beli dan juga mengisytiharkan royalti. Saya rasa ini perlu dihentikan.”
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Perhutanan Mashor Mohd Jaini.
Tahun lepas, eksport balak menjana sekitar RM150 juta untuk pendapatan negeri menerusi bayaran royalti.
Eksport balak Sabah mencapai zaman emas sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, menyumbang berbilion ringgit kepada KDNK Sabah ketika itu.
Shafie berkata zaman itu berakhir apabila syarikat swasta meraih untung daripada sumber negeri.
Katanya lagi, syarikat berkaitan kerajaan wajar mempunyai akses kepada keuntungan tersebut kerana jika situasi itu berlaku, negeri akan mendapat pendapatan lebih tinggi seterusnya memberi faedah kepada lebih ramai penduduk Sabah.
“Jika Yayasan Sabah untung, kita boleh baiki sekolah daif dan kitab oleh bina institut teknikal, tetapi semua ini jarang dapat dilaksanakan kerana keuntungan dapat kepada syarikat swasta,” katanya.
Yayasan Sabah diasaskan pada 1966 oleh kerajaan negeri untuk membuka ruang pendidikan dan ekonomi kepada penduduk negeri. – 3 Disember, 2018.
Komen