BANK Dunia hari ini mengumumkan pembiayaan sebanyak AS$200 bilion (RM835 bilion) bagi 2021-25 untuk pelan tangani pemanasan global, yang merupakan dua kali ganda daripada jumlah bagi peruntukan tempoh lima tahun lalu.
Bank Dunia berkata langkah itu, bertepatan dengan mesyuarat sidang kemuncak iklim PBB di antara 200 negara di Poland, mewakili “cita-cita besar” untuk menangani perubahan iklim, “menghantar isyarat penting kepada komuniti global lebih luas untuk melakukan perkara yang sama.”
Negara maju komited untuk mengagihkan perbelanjaan awam dan swasta tahunan yang digabungkan sebanyak AS$100 bilion di negara-negara membangun menjelang 2020 untuk memerangi kesan perubahan iklim - meningkat daripada AS$48.5 bilion pada 2016 dan AS$56.7 bilion tahun lepas, mengikut data OECD terkini.
Dalam satu kenyataan, Bank Dunia berkata pecahan AS$200 bilion akan terdiri daripada “kira-kira AS$ 100 bilion dalam bentuk pembiayaan langsung daripada Bank Dunia.”
Sekitar satu pertiga baki pembiayaan akan datang daripada dua agensi Kumpulan Bank Dunia dengan modal swasta lain yang “digerakkan oleh Kumpulan Bank Dunia.”
“Sekiranya kita tidak mengurangkan pelepasan dan melakukan penyesuaian sekarang, kita akan mempunyai lebih 100 juta orang yang hidup dalam kemiskinan menjelang 2030,” kata John Roome, pengarah kanan Bank Dunia bagi perubahan iklim.
“Dan kita juga tahu semakin kurang kita menangani isu ini secara proaktif hanya dalam tiga wilayah - Afrika, Asia Selatan dan Amerika Latin - kita akan mempunyai 133 juta migran iklim,” kata Roome kepada AFP.
Pakej pembiayaan bank berjumlah kira-kira AS$40 bilion setahun, tetapi secara langsung (kewangan) adalah 27 bilion setahun secara purata,” kata Roome.
Beliau menambah dalam tahun fiskal 2018, bermula Julai 2017 hingga Jun tahun ini, Bank Dunia menyumbang AS$20.5 bilion berbanding purata tahunan sebanyak AS$13.5 bilion untuk tempoh 2014-2018.
Roome berkata wang yang kini diperuntukkan berjumlah kira-kira 35% daripada jumlah pembiayaan Kumpulan Bank Dunia. – AFP, 3 Disember, 2018.
Komen