Azeez kecewa Tabung Haji tidak panggil beri penjelasan


SM Amin

Abdul Azeez Abdul Rahim kecewa Tabung Haji memilih membuat laporan polis sebelum beliau diberi peluang menjelaskan perkara sebenar melalui siasatan dalaman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Disember, 2018.

ABDUL Azeez Abdul Rahim kecewa Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak mengikut prosedur operasi standardnya (SOP) sendiri dengan memanggilnya untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan RM22 juta diselewengkan bagi tujuan politik.

Beliau kesal Tabung Haji sebaliknya memilih untuk terus membuat laporan polis sebelum beliau diberi peluang menjelaskan letak duduk perkara sebenar melalui siasatan dalaman.

“Saya terkejut SOP ini tidak diguna pakai walaupun saya bekas pengerusi Tabung Haji. Adalah baik pihak Tabung Haji memanggil saya untuk memberikan keterangan dahulu.

“Kita boleh adakan siasatan dalaman, boleh tanya saya dahulu duit ini datang dari mana, bagaimana diagihkan.

“Ini tiba-tiba hari Sabtu pagi semua di dada akhbar keluar laporan terhadap diri saya kononnya RM22 juta disalah guna untuk politik,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jumaat lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95% pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Selain Azeez, pihak lain yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah dua bekas CEO, Ismee Ismail dan Johan Abdullah serta beberapa kakitangan kanan termasuklah Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.

Menurut Tabung Haji, laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2017 yang mana dana melebihi RM22 juta digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Laporan kedua pula melibatkan Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan penjualan 95% pegangan dalam syarikat PT TH Indo Plantations yang dimiliki oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn. Bhd. (THI) dan TH Indo Industries Sdn. Bhd. (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk RM3.8 bilion (AS$910 juta) pada 2012.

Menurut Azeez, dana RM22 juta yang digunakan untuk program “Ziarah Kasih”, “Jom Bantu Rakyat” dan “Ziarah Kasih Ramadhan” adalah untuk membantu ibu tunggal miskin di lebih 60 kawasan Parlimen tanpa mengira fahaman parti.

Tegas beliau, dana tersebut bukan wang pendeposit Tabung Haji tetapi sebahagiannya hasil daripada keuntungan pelaburan Tabung Haji itu sendiri berjumlah RM7 juta.

“Bakinya adalah hasil sumbangan Umno Malaysia, kerajaan persekutuan dan syarikat-syarikat yang tidak pernah berniaga dengan Tabung Haji untuk menjalankan aktiviti Ramadan pada 2017,” katanya.

Berkaitan dengan laporan polis kedua berkenaan penjualan 95% pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion pada 2012, Azeez memaklumkan beliau hanya dilantik sebagai pengerusi Tabung Haji pada Julai 2013.

Kata Azeez, ketika beliau memegang jawatan tersebut tiada sebarang dakwaan penyelewengan dilakukan.

“Cumanya ada perkara-perkara kononnya disimpan, dirahsiakan. Ini saya kurang arif.

Saya percaya pengurusan tertinggi akan tampil ke hadapan untuk beri maklumat kepada pihak polis,” ujarnya. – 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen