Pasukan pakatan AS serang tentera Syria


Tentera pakatan diketuai AS didakwa membedil peluru berpandu ke arah kedudukan tentera kerajaan di tengah Damsyik. – Gambar AFP, 3 Disember, 2018.

SYRIA menuduh tentera pakatan antarabangsa diketuai Amerika Syarikat (AS) membedil peluru berpandu ke arah kedudukan tentera kerajaan di tengah Damsyik, lapor agensi berita SANA.

“Tentera pakatan diketuai AS melancarkan peluru berpandu sekitar jam 8 malam waktu tempatan petang ini ke arah kedudukan tentera kami di pergunungan Ghorab di selatan Sukhna, menyebabkan kerosakan pada peralatan, lapor SANA memetik kenyataan sumber tentera.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), tentera pakatan di wilayah Al-Tanf membedil lebih 14 peluru berpandu ke arah konvoi tentera Syria ketika ia melepasi padang pasar di timur wilayah Homs.

“Kumpulan itu sesat di tengah padang pasir kira-kira 35km dari pangkalan Al-Tanf yang diduduki tentera AS dan Britain,” kata ketua SOHR Rami Abdel Rahman.

AS menggunakan pangkalan itu untuk melancarkan serangan terhadap IS. Ia juga pernah digunakan untuk melatih pejuang penentang Syria.

Tahun lalu, pertempuran berlaku di wilayah berkenaan antara tentera Syria dan mereka yang disokong pasukan pakatan.

Damsyik menggesa tentera AS meninggalkan kawasan yang terletak berhampiran sempadan Iraq dan Jordan itu. – AFP, 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen