PEMIMPIN Umno Tajuddin Abdul Rahman menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai rasis dan tidak bersimpati terhadap orang Melayu, ketika parti itu bersiap sedia mengipas sentimen perkauman menjelang himpunan mega minggu depan.
ICERD, iaitu Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum, ialah perjanjian anti perkauman, tetapi Umno, PAS dan beberapa kumpulan Melayu berkata meratifikasinya akan bermakna berakhir hak dan keistimewaan orang Melayu.
Walaupun Putrajaya membatalkan rancangan untuk meratifikasi ICERD, penganjur himpunan 8 Disember tetap berjanji meneruskan acara itu.
Tajuddin, yang juga speaker perhimpunan anti ICERD di Perlis malam tadi, mendakwa bajet 2019 Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat potongan besar terhadap bantuan dan insentif untuk petani dan nelayan, yang kebanyakannya orang Melayu.
“Hampir RM700 juta dalam bentuk bantuan yang diberikan kepada petani sudah diambil, dicuri oleh Lim Guan Eng dan diberikan kepada orang lain,” kata Tajuddin dalam ucapannya di himpunan anjuran PAS di Kampung Pondok, Kangar.
Tajuddin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu “kasihani nelayan” dan melanjutkan bantuan bulanan RM300 kepada mereka.
“Kerana Lim menteri kewangan, yang bukan Melayu, yang bukan bangsa kita, dia tidak ada simpati.
“Ini kerajaan PH yang kita tidak boleh harap akan menjaga masyarakat kita, agama kita.”
Tajuddin kemudian berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy, yang bercakap tentang meratifikasi ICERD, sebagai “rasis”.
“Waytha Moorthy pernah kata Melayu bukan orang asal di tanah ini. Sangat rasis. Dia kata Melayu bukan orang asal, dan Melayu warga asing. India yang orang asal.
“Dia kata Melayu pakai baju pun tak tau, bermakna Melayu pakai kain cawat saja. Melayu tidak ada agama. Itulah kata-kata Waytha Moorthy.
“Dan dia kata kita tidak berhak mintak hak keistimewaan dalam bentuk bahasa dan agama. Dia hendak agama kita sama. Bolehkah kita terima semua ini?,” katanya.
Tajuddin mendakwa walaupun PH dipimpin oleh Melayu seperti Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, mereka tidak ada pengaruh sebenar.
“Dr Mahathir tidak ada kuasa, walaupun dia perdana menteri. Kerana dalam PH beliau bergantung pada sokongan parti lain.
“Parti yang ada banyak kerusi dalam kerajaan ialah DAP. Beliau bergantung pada DAP. Beliau terpaksa tunduk pada DAP dan melantik Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.”
Dalam gabungan PH, PKR parti yang paling ramai ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat sebanyak 50 orang, diikuti DAP (42). Bersatu mempunyai 15 ahli Parlimen dan Amanah ada 11.
Tajuddin berkata Anwar yang juga presiden PKR bergantung pada bukan Melayu dalam partinya demi kelangsungan politiknya.
“PKR bukan parti Melayu atau Islam.
“Hanya 20% ahli PKR orang Melayu dan 80% bukan Melayu. Mereka guna Anwar. Anwar terpaksa bekerja dengan mereka untuk kelangsungan politiknya sendiri.” – 3 Disember, 2018.
Komen