PAS mahu himpunan bantah ICERD beri mesej jelas kepada dunia


Sheridan Mahavera

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata himpunan bantah ICERD perlu diteruskan kerana sudah tiba masanya untuk maklumkan kepada rakyat dan seluruh dunia isu ini sensitif dan orang Islam tidak boleh menerimanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2018.

PAS berkata ia akan menyertai perhimpunan membantah perjanjian anti diskriminasi antarabangsa, ICERD, meskipun terdapat rasa ragu-ragu pemimpin Islam lain yang mahu protes itu dibatalkan.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata perhimpunan itu diperlukan untuk memberi mesej yang kuat kepada masyarakat antarabangsa dan kerajaan Malaysia bahawa rakyat tidak akan menerima ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan semua bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Himpunan ini perlu walaupun kerajaan memberi jaminan tidak akan mengikhtirafnya,” kata Hashim kepada pemberita selepas PAS menganjurkan perhimpunan anti ICERD di Perlis malam tadi.

“Bagaimanapun, kami rasa ini masanya hendak maklumkan kepada rakyat dan seluruh dunia bahawa perkara ini sensitif dan orang Islam tidak boleh menerimanya.”

PAS, bersama-sama dengan Umno, menentang kerajaan meratifikasi ICERD kerana mendakwa ia akan menghakis hak istimewa Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Walaupun selepas kerajaan mengumumkan pada 23 November bahawa ia tidak akan meratifikasi ICERD, PAS, Umno dan kumpulan pejuang hak Melayu berkata perhimpunan anti ICERD pada 8 Disember masih akan berlangsung.

Bagaimanapun, beberapa NGO Islam bersuara menentang perhimpunan itu berikutan rusuhan yang berlaku minggu lalu berhubung penempatan semula kuil Hindu di Selangor.

Para mufti dari Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut menyeru perhimpunan itu, yang dijadualkan pada Sabtu ini, dibatalkan kerana kerajaan membatalkan rancangannya untuk meratifikasi ICERD.

Dalam ucapannya sebelum ini di perhimpunan Perlis, Hashim berkata isu ICERD memulihkan semangat ahli Umno dan PAS selepas kekalahan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebelum isu ICERD, PAS dan Umno nazak, tetapi apabila isu ICERD muncul, mereka hidup semula.”

Perhimpunan itu dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli. – 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pas pis pus

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh MOHD NAZRI MASUDI · Ulasan

  • Lebih separuh dunia sudah menerima ICERD. Apa lagi mahu tunjuk kepada dunia? Cubalah rasa segan.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan