PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menunaikan permintaan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sekiranya beliau bersetuju membatalkan projek nuklear, kata Presiden Korea Selatan pada Ahad, susulan perbincangan di luar sidang kemuncak G20.
Ketika para pegawai rasmi berusaha untuk mengatur pertemuan kedua antara Trump dan Kim, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in memberita demikian kepada wartawan berhubung pesanan yang diberikan kepadanya oleh presiden AS itu untuk disampaikan kepada pemimpin negara utara.
“Dan mesejnya adalah Presiden Trump mempunyai pandangan yang sangat mesra terhadap Pengerusi Kim dan suka kepadanya, jadi beliau berharap Pengerusi Kim akan melaksanakan perjanjian mereka dan akan menunaikan apa sahaja yang Pengerusi Kim mahu,” kata Moon memberitahu agensi berita Yonhap semasa dalam perjalanan ke New Zealand.
Bercakap di Buenos Aires, Trump membincangkan keadaan di Semenanjung Korea dengan Moon dan berharap dapat mengadakan pertemuan susulan dengan Kim pada awal tahun depan.
“Kami sangat baik. Kami mempunyai hubungan yang baik,” katanya.
Ketika ditanya pada Sabtu sama ada beliau akan menjemput Kim ke AS, presiden Republican itu menjawab: “Pada waktu tertentu, ya.”
Trump dan Kim mengadakan pertemuan bersejarah di Singapura awal tahun ini, menandatangani satu perjanjian yang tidak jelas mengenai pembatalan projek nuklear.
Tetapi kemajuan secara umumnya lambat, dengan kedua-dua negara mempertikaikan maksud sebenar perjanjian itu.
Pegawai AS menegaskan pembatalan projek nuklear di Semenanjung Korea sebelum sekatan ditarik balik. – AFP, 3 Disember, 2018.
Komen