Perwakilan MCA enggan tinggalkan BN 


Khoo Gek San

Perwakilan MCA masih berbelah bahagi untuk meninggalkan pakatan Barisan Nasional.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Disember, 2018

PERWAKILAN MCA berbelah bagi untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun mereka memberi lampu hijau kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk merancang pembubaran pakatan itu. 

Perwakilan yang ditemui pada mesyuarat agung tahunan parti itu berkata, ahli dari Pahang dan Perlis yang mana masih diterajui BN mahu kekal dan enggan meninggalkan pakatan itu. 

Lain-lain didorong oleh sentimen, kerana parti itu mendapat kemerdekaan untuk negara pertama kali dengan Perikatan - dengan Umno dan MIC, dan kemudian membantu melonjakkan Malaysia ke tahap baru sebagai sebahagian daripada BN.

Mereka juga bimbang parti itu akan tumbang kerana keluar tanpa sebarang perancangan tidak akan mengembalikan sokongan pengundi Cina atau melihat parti itu berkembang maju. 

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, mesyuarat agung tahun ini dijalankan secara tertutup kepada media – yang pertama bagi MCA selepas BN kehilangan kuasa di peringkat persekutuan. Ia juga merupakan kali pertama sekutunya Umno dan MIC tidak dijemput. 

Ketika ini, presiden parti Wee Ka Siong memegang kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Teh Chai Aan merupakan Adunnya bagi kawasan Titi Tinggi di Perlis dan Lee Ah Wong merupakan Adun Cheka di Pahang. 

Perwakilan Seremban Ryan Son berkata, perbahasan dijalankan secara rasional.

Kebanyakannya merasakan keangkuhan pemimpin Umno membawa kepada kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang diadakan 9 Mei. 

“Kita perlu fikir semasak-masaknya,” katanya. 

Perwakilan Bentong Lee Wah Heng berkata, para perwakilan tidak perlu tergesa-gesa, yang boleh membawa kepada keruntuhan MCA. 

“Adakah MCA tidak bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat sejak pilihan raya umum 2008? Saya rasa jika MCA, Umno dan parti komponen BN yang lain telah membincangkan dan bersetuju bahawa BN perlu dibubarkan, satu lagi persekutuan baru antara parti yang masih boleh dibentuk,” katanya.

Perwakilan pusat Alvyn Chiang berkata beliau bersetuju dengan usul itu untuk memperkuat kepimpinan parti untuk menolak pembubaran BN, tetapi ia mesti dibincangkan dengan ahli lain.
 
Beliau berkata MCA tidak sepatutnya meninggalkan BN kerana ia kehilangan kuasa, mengatakan ini akan menunjukkan parti itu bukan sahabat yang setia semasa berdepan kesukaran.
 
Chiang berkata BN adalah kehadiran yang perlu dan MCA harus kekal sebagai sebahagian daripada gabungan itu.

“Sekiranya kamu mengatakan MCA sedang dibuli oleh BN, kita boleh mencari kaedah kerjasama yang lain. Akhirnya, politik adalah permainan nombor, MCA pasti akan dibuli apabila ia lemah, tetapi jika parti itu boleh menang 20 hingga 30 kerusi, maka bagaimana mereka membuli parti itu?” soalnya. – 3 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen