Vincent Tan tawar untuk berurusan secara peribadi dengan pemaju tanah kuil


Christopher Rabin

Vincent Tan sebelum ini menubuhkan tabung bagi membeli semula tanah, tetapi isu berkenaan hanya boleh selesai sekiranya dana berkenaan diterima oleh Ayala Corporation. – Gambar AFP, 2 Disember, 2018

VINCENT Tan akan menghubungi Ayala Corporation untuk mencadangkan penyelesaian terbaik berhubung isu kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. 

Menurutnya, beliau sebelum ini menubuhkan tabung bagi membeli semula tanah, tetapi isu berkenaan hanya boleh selesai sekiranya dana berkenaan diterima oleh Ayala Corporation. 

“Saya kenal mereka. Mereka orang yang baik dan terhormat. Saya rasa kita mampu menyelesaikannya dengan pemaju bila ketua mereka tahu situasi seperti ini. 

“Kita tidak boleh lakukan ini menerusi mahkamah. Ia mengambi masa terlalu lama dan kita tidak mahu berlaku lagi pergaduhan.”

“Kami akan berbincang dengan pemaju. Diharap kita dapat selesaikannya dan uil ini akan kekal di sini selamanya. Kita mahu semua rakyat Malaysia berjaya dan makmur,” kata Vincent pada pertemuan di kuil berkenaan. 

Ayala Corporation, yang merupakan pemaju hartanah terbesar di Filipina merupakan syarikat induk One City Development Sdn Bhd, yang membeli tanah kuil itu. 

Menurut Bloomberg, Ayala Land memiliki 66.25 peratus MCT di bawah Ayala Corporation. 

MCT memiliki anak syarikat, MCT Consortium Bhd, yang memiliki penuh One City Development. 

“Mereka boleh menjadi pemurah. Mungkin mereka boleh berikan diskaun yang banyak, atau mungkin dermakan tanah. Kita serahkan kepada mereka. 

“Saya akan mendermakan RM500,000 untuk memulakan tabung itu. Setakat ini kami mempunyai RM1.5 juta, dan seorang lagi individu berpangkat Datuk mahu memberi sumbangan. Akan ada RM2 juta dalam akaun,” katanya. 

Individu yang dimaksudkan adalah Ananth Kumar, yang bersama Barry Goh, David Kong dan Vincent Tan mendermakan RM500,000 setiap seorang kepada tabung berkenaan. 

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata, kerajaan bersetuju dengan rancangan itu dan menerima cadangan penyelesaian di luar mahkamah. 

“Kami harap dapat mencari penyelesaian menerusi kementerian saya dan menteri besar Selangor. Kami sudah mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah dan Ayala. Mereka terbuka untuk mendengar penyelesaian kami. 

“Saya berharap ini akan menyelesaikan isu yang timbul. Penyelesaian ini hanya akan menjadi realiti sebaik sahaja tandatangan diturunkan oleh pihak berlainan,” kata Ahli Parlimen Kuala Langat itu. – 2 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen