Anwar masih fikir jawatan untuk Rafizi


Nabihah Hamid

Anwar memberi alasan Rafizi sudah banyak menyumbang kepada parti terutama semasa pilihan raya umum ke-14 yang lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari , 2 Disember, 2018.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim masih lagi menimbangkan jawatan-jawatan lantikan dalam parti, termasuk melibatkan Rafizi Ramli, yang akan dibuat untuk mengukuhkan parti selepas selesai pemilihan yang sengit dan memecah belah bulan lalu.

Menjawab pertanyaan wartawan bilakah bekas calon timbalan presiden itu akan dilantik memegang jawatan parti, Anwar berkata, beliau masih belum buat keputusan.

“Biro politik mesyuarat seperti biasa minggu ini tetapi keputusan itu terserah pada saya. 

“Saya fikir wajar saya teruskan (membuat pertimbangan). Saya sedang fikir,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan buku ‘9 May 2018 Notes From The Frontline’ tulisan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada penutup Kongres PKR di Shah Alam pada 18 November lalu, Anwar berkata Rafizi yang gagal dalam usahanya mencabar Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden, wajar diberikan jawatan dalam kepimpinan tertinggi parti.

Anwar memberi alasan Rafizi sudah banyak menyumbang kepada parti terutama semasa pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Anwar tidak mahu bakat Rafizi Ramli disia-siakan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari , 2 Disember, 2018.

“Tengok rekod Rafizi di Invoke dan pendedahannya tentang skandal Barisan Nasional-Umno. Kita perlu bawa dia masuk ke dalam kepimpinan tertinggi,” kata Anwar, ketika itu.

Bagaimanapun, dua minggu selepas selesai pemilihan PKR, belum ada sebarang berita mengenai lantikan tersebut serta mana-mana jawatan lantikan termasuk tiga kuot abagi kerusi naib presiden, setiausaha agung, bendahari dan beberapa jawatan lain.

Dalam pemilihan jawatan timbalan presiden, Rafizi kalah kepada Azmin dengan lebih kurang 2,700 undi. – 2 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen