Trump berharap untuk bertemu pemimpin Korea Utara 


Presiden AS Donlad Trump berkata, tiga lokasi akan dipertimbangkan untuk pertemuan itu. – Gambar EPA, 2 Disember, 2018

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu berkata beliau berharap untuk bertemu denan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pada awal 2019. 

Trump memberitahu pemberita, “tiga lokasi” akan dipertimbang untuk pertemuan itu, yang merupakan susulan daripada sidang kemuncak bersejarah di Singapura pada Jun. 

Ditanya mengenai pertemuan itu, Trump berkata: “Saya rasa kita akan adakan satu pertemuan tidak lama lagi, pada Januari, Februari saya rasa.”

Trump berada di Buenos Aires untuk Sidang Kemuncak G20. 

Ketika ditanya sama ada beliau akan menjemput Kim ke AS, presiden Republican itu menjawab: “Pada waktu tertentu, ya.”

Pada Jun, Trump dan Kim mengadakan sesi dialog berhubung denuklearisasi di Semenanjung Korea selepas beberapa bulan saling memberi ancaman ketenteraan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan menandatangani dokumen denuklearisasi di semenanjung berkenaan, namun perkembangannya tertangguh apabila Washington dan Pyongyang mempertikai maksud dokumen berkenaan. 

Korea Utara mengambil beberapa langkah konkrit untuk menamatkan program peluru berpandu balistik dan nuklear. – AFP, 2 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen