KERAJAAN sedang menimbang untuk mengenakan denda ke atas pelanggan hotel dan restoran yang membazirkan makanan melalui sebuah akta baru yang sedang diteliti, kata Timbalan Perdana Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, undang-undang yang akan dikenali sebagai Akta Pembaziran Makanan itu bertujuan mengurangkan lambakan makanan yang dibuang setiap hari yang semakin serius.
Tegas beliau, undang-undang itu penting sebagai peringatan kepada pengusaha makanan serta bagi mendidik masyarakat supaya tidak membazirkan makanan.
“Saya menganjurkan masyarakat lebih menghargai dan mengelakkan tabiat pembaziran makanan. Secara purata rakyat Malaysia membuang hampir 1 kilogram makanan setiap hari. Jangan membazir.
“Kerajaan sedang mengkaji dengan teliti keperluan menggubal Akta Pembaziran Makanan dari pelbagai sudut,” katanya berucap menutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Serdang hari ini.
Rakyat Malaysia dilaporkan membuang tidak kurang 3,000 tan metrik makanan yang masih boleh dimakan setiap hari dan jumlah itu bertambah pada musim perayaan.
Pada Ramadan tahun ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merekodkan pembaziran 615,000 tan metrik makanan.
Menurut Dr. Wan Azizah, selain memperkenalkan Akta Pembaziran Makanan, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memperluaskan program Bank Makanan Malaysia ke seluruh negara tahun depan.
“Langkah-langkah lain adalah Bank Makanan Malaysia di mana lebihan makanan yang diperolehi daripada pasaraya yang besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.
“Program ini dijangka akan dilaksanakan di seluruh negara pada awal tahun depan.
“Sekiranya pembaziran makanan dapat dikurangkan, ia secara tidak langsung akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub berkata penggubalan akta tersebut akan turut melibatkan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar.
“Saya sedar berdasarkan pengalaman kita terutamanya di bulan Ramadhan, hotel dan resort yang membuat jamuan atau buffet dan hari-hari juga kita lihat lambakan makanan-makanan ini dibuang. Ini sangat serius,” katanya. – 2 Disember, 2018.
Komen