PEMIMPIN berhaluan kiri Andres Manuel Lopez Obrador berjanji melakukan perubahan “mendalam dan radikal” di Mexico sewaktu mengangkat sumpah sebagai presiden negara itu semalam, setelah memenangi pilihan raya.
Pemimpin, yang terkenal dengan gelaran “AMLO,” telah mengangkat sumpah presiden di hadapan Kongres - di mana gabungan yang diketuai oleh parti yang diasaskannya empat tahun lalu, Morena, kini mempunyai majoriti kuat di kedua-dua dewan.
Mengakhiri 89 tahun kerajaan dari hanya dua parti, Lopez Obrador meungguli kemenangan pada pilihan raya 1 Julai lalu di samping menjanjikan pendekatan baru terhadap isu-isu yang menimbulkan kemarahan yang meluas: jenayah, kemiskinan dan rasuah.
Namun tidak semua orang termakan dengan slogan Lopez, pengkritik mengatakan pemimpin yang berlidah tajam, dengan rambut beruban itu mempunyai sejarah radikal dan autoritarian. Dan walaupun janji-janjinya terhadap dasar yang mesra perniagaan, saham-saham Mexico dan peso terus menjunam dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Itu tidak menghentikan Lopez Obrador, 65, dari menggandakan janjinya mahu mewujudkan “transformasi” di negara itu ketika baru menduduki jawatan itu.
“Ia mungkin kelihatan seperti megah atau dibesar-besarkan, tetapi hari ini bukan hanya sekadar permulaan kerajaan baru. Ini adalah permulaan perubahan politik rejim,” katanya, yang memakai sut gelap dan tali leher merah burgundy .
“Kami akan laksanakan transformasi yang aman dan teratur bahkan mendalam dan radikal,” katanya lagi. – AFP, 2 Disember, 2018.
Komen