AS, China setuju tangguh tarif baru selepas 1 Januari


Pemimpin G20 bergambar pada sidang kemuncak di Buenos Aires pada Jumaat. AS dan China semalam bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan cukai baharu selepas 1 Januari. – Gambar EPA, 2 Disember, 2018.

AMERIKA Syarikat (AS) dan China menerusi sidang kemuncak semalam bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan cukai baharu selepas 1 Januari, lapor media China berikutan perang perdagangan yang berlanjutan selama sebulan.

Akhbar China dan penyiar negara itu, CGTN berkata Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatnya, Xi Jinping bersetuju menangguhkan cukai selepas tarikh berkenaan.

Trump sebelum ini mengancam untuk menaikkan cukai daripada 10 ke 25 peratus ke atas barangan import China bernilai AS$200 bilion mulai 1 Januari.

Rumah Putih belum mengulas mengenai keputusan yang dicapai menerusi sidang kemuncak di Buenos Aires itu, tetapi penasihat kanan Trump, Larry Kudlow berkata rundingan itu berjalan dengan lancar.

Hubungan perdagangan AS-China menjadi tegang sejak awal tahun ini.

Trump menyelar amalan perdagangan China terutamanya mengenai kecurian teknologi asing.

Pentadbiran Trump menuntut China menghentikan syarat bahawa syarikat asing perlu bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan, di amna Beijing dituduh mencuri pengetahuan AS dalam mempromosikan industrinya.

China menafikan tuduhan AS tetapi menjelang sidang kemuncak itu ia berjanji untuk mengalu-alukan import asing. – AFP, 2 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen