ROBERT De Niro menerima anugerah penghargaan pada Festival Filem Antarabangsa di Marrakech pada Sabtu, yang disampaikan oleh sahabat lamanya, Martin Scorcese.
Lahir di New York pada 1943, karier De Niro bermula dengan menyertai Broadway, sebelum ke layar perak ketika berusia 20 tahun. Beliau berlakon dalam banyak filem arahan Scorsese - dari “Taxi Driver” pada 1976 hinggalah ke filem “Casino” pada 1995.
Pemenang anugerah Oscar dua kali itu bekerjasama buat kali kesembilan dengan Scorsese dalam filem “The Irishman”, yang akan ditayangkan pada tahun depan.
Pada majlis itu, De Niro sempat menyelar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan mantra “America First"nya.
“Malang sekali, di negara saya kita akan melalui versi nasionalisme yang menakutkan… ketamakan, xenophobia dan sikap mementingkan diri sendiri di bawah mantra ‘America First’,” katanya.
De Niro kerap mengkritik Trump dan pada Jun lalu beliau mengutuk presiden AS itu pada majlis Tony Awards sehingga diberi tepukan gemuruh. – 2 Disember, 2018.
Komen