Apa buktinya Zakir Naik sebar kebencian mengenai agama lain?


Sheridan Mahavera

Di India, Zakir Naik dikehendaki kerana atas dakwaan menghasut keganasan. – Gambar fail AFP, 2 Disember, 2018.

TUNJUKKAN bukti yang Zakir Naik menghina agama lain.

Ini mesej dari penganjur syarahan pendakwah kontroversi itu di Perlis kepada pihak yang mahu beliau dihantar pulang ke negara asalnya, India.

“Semua orang cakap dia orang jahat. Tapi tunjukkan bukti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Zamri Vinoth yang menganjurkan syarahan selama empat hari Zakir di perlis minggu ini.

“Sesiapa saja boleh dakwa dia jahat. Kena tunjuk di mana jahatnya,” kata Zamri, mengulas tuduhan bahawa Zakir menyebarkan maklumat negatif mengenai agama lain.

Tuduhan-tuduhan ini menyebabkan aktivis memfailkan saman pada Mac lepas bagi memaksa kerajaan mengusir pendakwah itu ke negara asalnya, India, di mana beliau dikehendaki atas pelbagai tuduhan jenayah. Saman itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia membenarkan Zakir yang diberi taraf pemastautin tetap tinggal di negara ini selagi beliau tidak mencetuskan masalah.

Pemimpin-pemimpin dari agama bukan Islam mengkritik keputusan kerajaan itu dan mahu ia dipertimbangkan semula.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) mendakwa Zakir menyebar pandangan negatif terhadap orang bukan Islam.

Pemimpin-pemimpin MCCBCHST mahu taraf pemastautin tetapnya dibatalkan. Zakir juga dilarang masuk ke United Kingdom pada 2010.

Zamri berpendapat alasan sebenar pengkritik di Malaysia mahu Zakir diusir dari negara ini adalah kerana ramai orang bukan Islam memeluk agama itu dalam setiap syarahan besarnya.

“Saya rasa ini sebab utamanya (kritikan terhadap Zakir). Mereka tak bole terima kerana menurut undang-undang, orang Islam boleh  berdakwah kepada orang bukan Islam. Jadi, mereka ada-adakan tunduhan ini.

“Tiada siapa yang paksa datang ke syarahan ini, baik Islam ataupun bukan Islam. Tapi ada yang datang dengan rela hati, termasuk juga yang bukan Islam, kemudian mereka rasa mereka nak masuk Islam. Jadi, kenapa orang lain nak marah pula?”

Pendakwah berusia 53 tahun itu kini berada di Perlis untuk menyampaikan syarahan agama anjuran One Centre Malaysia yang turut mendapat sokongan kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.

Zamri juga menuduh pengkritik Zakir cuba menghalang bekas doktor itu mengadakan syarahan agama sedangkan mereka sendiri berkempen mengenai kebebasan bersuara.

“Macam mana mereka boleh perjuangkan kebebasan bersuara kemudian beritahu tak boleh beri syarahan. Ini sudah bertentangan dengan apa yang mereka perjuangkan.” – 2 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen