Lebih ramai yang minat daripada yang benci, kata Zakir Naik


Sheridan Mahavera

Ada saja peminat di sana-sini, lebih ramai daripada yang tak bersetuju dengan saya, kata Zakir Naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2018.

SETAHUN sudah berlalu selepas ceramahnya dan beberapa bulan selepas beberapa pemimpin agama serta aktivis cuba mengusirnya keluar dari Malaysia, Zakir Naik tetap tenang sahaja.

Selesai memberi kuliah di Perlis, pendakwah kontroversi itu menepis kritikan dan kempen untuk mengusirnya dari negara ini.

“Memang akan ada sahaja orang yang tidak selesa dengan saya. Saya tak boleh nak puaskan hati semua orang,” kata Zakir, 53, kepada The Malaysian Insight.

Ketika itu berpuluh peminatnya sedang menunggu giliran untuk berswafoto dengannya di Dewan 2020 di Kangar itu.

Dan peminat seperti inilah yang memberi motivasi kepada bekas doktor ini, walaupun beberapa aktivis hak asasi manusia telah meminta kerajaan mengusirnya ke negara asalnya, India, di mana beliau dikehendaki atas pelbagai tuduhan jenayah.

“Yang minat lebih ramai (daripada yang mengkritik). Ada saja peminat di sana-sini, lebih ramai daripada yang tak bersetuju dengan saya,” katanya yang menurut beberapa pemimpin agama menuduh beliau menghina agama mereka.

Pada Mac lepas, sekumpulan aktivis memfailkan saman memohon kerajaan mengisytiharkan Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan mahu beliau ditangkap lalu diusir dengan segera. Saman itu bagaimanapun diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir boleh tinggal di negara ini selagi tidak menimbulkan masalah.

Zakir berada di Perlis untuk memberi syarahan bertajuk “Is Islam the solution for humanity’s problems? (Adakah Islam penyelesaian bagi semua masalah manusia?)” - yang pertama di negeri itu.

Dewan 2020 itu padat dengan hadirin yang memenuhi hampir 90% daripada 1,000 tempat duduk.

Hadirin yang sebahagian besar terdiri daripada kaum wanita itu, cukup sabar mendengar syarahan selama dua jam  di dalam dewan yang panas kerana penyaman udara tidak berfungsi.

Ada antara mereka yang memandu selama dua jam setengah dari Pulau Pinang semata-mata untuk mendengar syarahan Zakir.

Zakir Naik sangat popular bagi ramai masyarakat Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2018.

Dalam syarahannya semalam, Zakir tidak menyentuh mengenai agama lain seperti yang biasa beliau lakukan dalam syarahan-syarahannya sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menyentuh mengenai masalah kemiskinan, rompakan dan rogol, serta berkata isu-isu ini boleh diselesaikan mengikut konsep Islam seperti memungut zakat dari golongan kaya dan melaksanakan kod berpakaian yang menutup aurat.

Bagaimanapun, Islam tidak dilihat sebagai penyelesai masalah-masalah ini kerana media Barat mempunyai propaganda terhadap agama itu, katanya. Tambah beliau, kebanyakan liputan media hari ini bertujuan untuk menggambarkan Islam adalah agama yang tidaka toleransi dan bersifat kejam.

“Hari ini, kalau mahu jadi terkenal, boleh tulis buku yang menentang Islam. Kalau anda bukan penulis terkenal, dalam sekelip mata anda akan dikenali. Kalau sudah terkenal, boleh tersenarai dalam senarai best seller,” kata Zakir.

“Kalau anda seorang Muslim yang menulis buku melawan Islam, anda akan jadi jutawan segera.”

Zakir juga menggesa orang Islam melawan Islamophobia serta label ekstremis dan tiada toleransi yang dilemparkan kepada mereka.

“Saya selalu kata, ya, saya ini tiada toleransi. Saya tiada toleransi terhadap perkauman, rasuah, jenayah, pelacuran, zina dan arak.

“Saya seorang pelampau kerana saya terlampau murah hati, penuh belas kasihan, penyayang, jujur dan adil.” 

Ketika sesi soal jawab selepas memberi syarahan, seorang wanita yang berpakaian serba hitam dan memakai niqab berwarna ungu mencapai mikrofon serta memohon maaf kepada Zakir kerana “membencinya”.

“Sebelum peluk Islam, saya benci awak. Apabila kawan-kawan Muslim sebut nama awak, saya beritahu mereka yang saya benci awak,” kata wanita yang tidak mahu memberitahu namanya itu.

Dia tidak menyatakan mengapa dia membenci Zakir, apa yang merubah pandangannya terhadap pendakwah itu atau sama ada ia muncul semasa sebelum atau selepas dia memeluk Islam.

Zakir sangat popular bagi ramai masyarakat Islam. Akaun Facebooknya mendapat 17 juta “like”.

Beliau menerima anugerah dari Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Gambia dan Malaysia. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulllai merasmikan syarahannya di Perlis malam tadi.

Tetapi Zakir dikecam oleh ramai orang bukan Islam. Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) mendakwa Zakir menyebar pandangan negatif terhadap orang bukan Islam.

Pemimpin-pemimpin MCCBCHST mahu taraf pemastautin tetapnya dibatalkan. Zakir juga dilarang masuk ke United Kingdom pada 2010.

Wanita yang berniqab tadi bertanya kepada Zakir bagaimana beliau boleh terus memberi syarahan dan berdakwah meskipun menerima pelbagai halangan dan cercaan.

“Maafkan saya kerana membenci awak,” tambahnya. 

Zakir kemudian menjawab: “Terima kasih kerana membenci saya kerana sudah ada banyak contoh dalam sejarah yang mana orang yang membenci Islam akhirnya menjadi penyokong yang paling kuat.”

Katanya, beliau tidak kecewa dengan segala kritikan dan tekanan yang diterimanya dari pihak berkuasa India yang mahu mendakwanya atas dakwaan menghasut perbuatan keganasan.

India meminta Zakir diekstradisi tetapi pendakwah itu masih berada di Malaysia yang memberinya taraf pemastautin tetap.

Beliau secara ringkas bercakap tentang masalah yang dihadapinya dengan pihak berkuasa India, mendakwa beliau dianiaya kerana berdakwah.

“Tak ada satu pun undang-undang yang saya langgar, tetapi oleh kerana saya sebarkan keamanan, kerana saya berkhidmat untuk manusia. Sesiapa yang menolak keamanan memang tidak akan suka.

“Semakin kuat mereka cuba menentang saya, saya akan semakin kuat sampaikan mesej saya.” – 2 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen