SELEPAS kemenangan dibatalkan oleh mahkamah pilihan raya, ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga naib presiden MIC C Sivarraajh kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.
SPRM membuka kertas siasatan selepas mahkamah mendapati Sivarraajh bersalah merasuah pengundi Orang Asli untuk menyokong Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14, 9 Mei lalu, sebelum mengisytiharkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kosong.
Hakim Azizah Nawawi memutuskan bahawa wujud “pola pemberian wang kepada pengundi sepanjang tempoh sebelum pilihan raya” dan beberapa salah laku terbukti.
Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki mengesahkan agensi anti rasuah itu menjalankan siasatan namun enggan mengulas lanjut.
Sumber SPRM lain bagaimanapun memaklumkan The Malaysian Insight, bukan Sivarraajh sahaja yang disiasat.
“Kami membuka siasatan terhadap mereka yang terlibat. Bukan seorang individu sahaja,” kata sumber berkenaan.
“Kami akan memanggil mereka yang terlibat.”
Dalam petisyen pilihan rayanya, calon DAP bagi kerusi Cameron Highlands, M. Manogaran berkata, Sivarraajh berkempen dengan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada masyarakat Orang Asli menerusi tok batin bagi memastikan mereka mengundi calon BN pada pertandingan lima penjuru.
Manogaran juga berkata rasuah itu dibayar ketika calon BN mengadakan pertemuan dengan masyarakat Orang Asli pada 28 April, 3,6,7,8 Mei dan pada hari mengundi 9 Mei.
Dalam petisyen pilihan rayanya yang difailkan pada 4 Jun, Manogaran menamakan Sivarraajh sebagai responden.
Ketika perbicaraan, Sivarraajh menafikan memberi wang atau rasuah kepada pemimpin masyarakat Orang Asli untuk mengundinya pada pilihan raya.
Beliau sebelum ini berkata jika sekiranya beliau memberikan wang, ia adalah permintaan ketua masyarakat berkenaan untuk faedah Orang Asli dan perkampungan mereka.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan mendapat 10,307 undi, sekaligus mengalahkan empat calon lain. – 2 Disember, 2018
Komen