Proses pembaharuan pilihan raya bukan sains roket, kata pengerusi SPR 


Asila Jalil

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun ketika bercakap kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya di Parlimen hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Disember, 2018

PROSES pembaharuan pilihan raya bukan sains roket, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun. 

Beliau berkata kecacatan dalam sistem sudah dikenal pasti, dan SPR tahu apa yang perlu dilakukan. 

“Ia bukannya sains roket kerana kita tahu kecacatan kita dan kita tahu apa yang perlu dilakukan. 

“Tiada keperluan untuk banyak berfikir kerana terdapat banyak kecacatan, dan terdapat banyak persepsi negatif. 

“Perkara yang kita perlu lakukan adalah jelas, dan ia perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya di Parlimen hari ini. 

Azhar berkata terdapat empat kategori pembaharuan. 

Yang pertama terdiri daripada perubahan yang boleh dibuat dengan segera tanpa perlu meminda undang-undang dan peraturan.

“Yang kedua memerlukan pindaan peraturan, yang mana menurut undang-undang, saya boleh lakukan, jadi itu bukan masalah. Contohnya, hari penamaan calon.”

Beliau berkata kategori ketiga memerlukan pindaan kepada undang-undang, dan ini akan mengambil masa kerana perkara itu mesti dibawa ke Parlimen.

Kategori terakhir adalah yang paling sukar kerana memerlukan perubahan perlembagaan persekutuan, katanya.

“Itu memerlukan majoriti dua pertiga. Ini akan mengambil masa yang lama. “

Azhar sebelum ini berkata SPR akan mengumumkan keputusan pilihan raya lebih cepat daripada portal Malaysiakini.

“Antara inisiatif yang kami fikirkan adalah untuk menerbitkan Borang 14. Bukan keputusan (rasmi), hanya Borang 14, yang tidak disahkan,” katanya sambil menambah ia boleh diambil sebagai keputusan tidak rasmi.

Borang 14 juga dikenali sebagai borang pernyataan pasca-pengiraan. – 1 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen