Putrajaya tergesa-gesa mengenai ICERD, kata peguam


Asila Jalil

Perkasa mengadakan bantahan terhadap ICERD minggu lepas. Pengasas organisasi bukan kerajaan, Malaysian Lawyers’ Circle, Lukman Sheriff berkata beliau menyokong cadangan meratifikasi ICERD tetapi mempersoalkan sikap tergesa-gesa kerajaan mengatakan konvesyen itu akan ditandatangani bersama konvensyen lain pada suku pertama 2019. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Disember, 2018.

PUTRAJAYA sepatutnya tidak perlu tergesa-gesa mengumumkan rancangan untuk meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tanpa melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, kata seorang peguam pada forum hari ini.

Pengasas organisasi bukan kerajaan, Malaysian Lawyers’ Circle, Lukman Sheriff berkata beliau menyokong cadangan meratifikasi ICERD tetapi mempersoalkan sikap tergesa-gesa kerajaan mengatakan konvesyen itu akan ditandatangani bersama konvensyen lain pada suku pertama 2019.

“Ini melibatkan banyak pihak berkepentingan. Ramai orang tidak setuju apabila diumumkan ia akan diratifikasi pada suku pertama (2019) tanpa berbincang dengan orang ramai dan raja-raja,” katanya pada “Malaysia Freedom Summit”, merujuk kepada sultan dan raja Melayu yang menjaga dan memelihara agama Islam.

Bantahan untuk meratifikasi ICERD timbul ekoran kebimbangan bahawa ia akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sepatutnya ada perbincangan jika ia melibatkan banyak pihak berkepentingan. Tapi ini tidak dibuat,” kata Lukman pada forum yang diadakan di bangunan Parlimen hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy pada Oktober lalu mengumumkan kerajaan bercadang untuk meratifikasi konvensyen itu pada suku pertama 2019.

Susulan bantahan yang memuncak dari kumpulan-kumpulan Melayu-Islam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudiannya berkata cadangan itu mustahil untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan Perlembagaan dipinda selain memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen. 

Pada 23 November, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan meratifikasi konvensyen itu. – 1 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen