China ekstradisi suspek kes rasuah dari Bulgaria


CHINA telah mengestradisi bekas pegawai kerajaannya dari Bulgaria kerana didakwa mengambil rasuah, yang mana ia kali pertama melibatkan negara Kesatuan Eropah, kata agensi anti rasuah negara itu. 

Bekas pegawai kerajaan di wilayah timur Zhejiang, China, Yao Jinqi, 62, dihantar pulang ke China yang mana beliau mungkin berdepan hukuman mati. 

“Pihak berkuasa China dan Bulgaria bekerjasama rapat dan Yao Jinqi, iaitu suspek yang melarikan diri ke Bulgaria diekstradisi,” kata Suruhanjaya Penyeliaan Kebangsaan dalam satu kenyataan.

“Ia juga merupakan kali pertama kita berjaya mengekstradisi suspek birokrat menerusi kerjasama dengan negara ahli Kesatuan Eropah.”

Pada pendengaran di mahkamah di Sofia pada Isnin, Yai diminta untuk diekstradisi, kata peguamnya Yanko Alexiev kepada stesen penyiaran televisyen Bulgaria, BNT. 

Memandangkan Yao mungkin berdepan hukuman mati, mahkamah boleh menolak permohonan ekstradisi China, kata Alexiev. 

“Bagaimanapun, memandangkan kedudukan tegas yang diungkapkan oleh klien saya tentang ekstradisi segera ke China, saya tidak melihat bagaimana mahkamah Bulgaria boleh menolak,” katanya.

Agensi berita Xinhua berkata Yao meninggalkan negara itu pada 2005 apabila didakwa terlibat rasuah, tinggal di Amerika tengah dan selatan dan Filipina sebelum menetap di Bulgaria yang mana dia ditahan bulan lalu selepas diletakkan dalam senarai merah Interpol. – AFP, 1 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen