Bekas presiden AS George H.W. Bush meninggal dunia


Bekas presiden Amerika Syarikat George H.W. Bush meninggal dunia pada usia 94 tahun, beberapa bulan selepas isterinya, Barbara Bush meninggal dunia pada April. – Gambar EPA, 1 Disember, 2018.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) George H.W. Bush meninggal dunia pada Jumaat, pada usia 94 tahun.

Dalam satu kenyataan mengumumkan kematian beliau, anaknya, George W. Bush, berkata bapanya itu merupakan lelaki yang mempunyai watak yang dikagumi dan ayah yang terbaik kepada anak-anaknya.

Kematian Bush beberapa bulan selepas isterinya iaitu bekas wanita pertama AS, Barbara Bush meninggal dunia pada April. Pasangan itu sudah berkahwin selama 73 tahun.

Bush yang dilahirkan pada 12 Jun 1924 di Milton, Massachusetts, merupakan anak kepada seorang pengurus bank berjaya dan senator Connecticut, Prescott Bush.

Beliau merupakan seorang veteran Perang Dunia Kedua sebelum menceburi bidang politik pada 1960-an.

Bush menjadi naib presiden kepada Ronald Reagan pada 1981 hingga 1989 dan menjadi presiden AS pada 1989-1993.

Selepas bersara, Bush menyertai bekas presiden Bill Clinton memungut dana bagi mangsa tsunami Asia pada 2004 dan mangsa gempa bumi Haiti pada 2010. Pada 2011, Bekas presiden Barrack Obama menganugerahkan beliau anugerah penghormatan tertinggi, “Medal of Freedom”. – AFP, 1 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen