Umno masih utuh di Sabah, kata pengerusi badan perhubungan negeri 


Jason Santos

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Hajiji Mohd Noor berkata semua aktiviti di setiap bahagian berjalan seperti biasa tanpa sebarang halangan.– Gambar The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018

UMNO Sabah masih utuh dan semua aktiviti di setiap bahagian berjalan seperti biasa tanpa sebarang halangan, kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Hajiji Mohd Noor. 

Hajiji mengulas berhubung laporan media yang Umno di Sabah akan tumbang kerana disebabkan oleh kejatuhan antara pemimpin negeri dan pusat.

Umno Sabah mempunyai 11 Adun dan merupakan sebahagian daripada Gabungan Bersatu Sabah, iaitu pakatan baru yang ditubuhkan bagi menggantikan Barisan Nasional di negeri itu. 

“PRU14 sudah tamat. Kita perlu fokuskan kepada tugas harian, tambahan pula dengan keadaan ekonomi negara yang mencabar ketika ini. 

“Semua orang di Sabah perlu bekerjasama untuk membantu menjadikan negara ini hebat semula. Kita perlu letakkan keutamaan yang betul,” kata Hajiji dalam satu kenyataan ringkas hari ini. 

Terdahulu, Setiausaha Umno Sabah Masidi Manjun menyelar laporan Daily Express bahawa akan ada penghijrahan wakil rakyat dari Umno kerana semakin tidak popular parti di Sabah. – 1 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen