SAYA membesar di Batu 13, Jitra pada 1979 hingga 1980. Tinggal di kuarters buruh Jabatan Parit dan Taliair (JPT). Kuaters kecil satu bilik, terletak tidak jauh dari estet Batu 13 dan Kuil Sri Ugru Veerasingha Veerma Kaliamman.
Selama dua tahun pada usia 12 dan 13 tahun, saya bergelumang hidup dengan bergaul dengan anak-anak India di estet. Tiap hujung minggu, saya menghabiskan seharian waktu dari pagi hingga ke petang bermain dengan anak-anak India di estet.
Estet Batu 13 sangat daif, dengan padang bola di celah-celah pokok getah. Ada masa anda terpaksa menggelecek pokok getah untuk menjaringkan gol.
Ada masa, nafas jadi mengah sebab udara masam berbaur dengan bau getah sekerap.
Tetapi, hati selalu gembira kerana pada masa lain, saya dan rakan-rakan India akan pergi memancing di sungai. Atau, masuk ke hutan menjejak sarang kucing hutan. Kami tekun menyelak belukar untuk mengendap anak-anak kucing hutan. Atau, memikat burung sintar di belukar.
Malah, ketika Thaipusam, saya akan berada di kuil Sri Urgu, melihat rakan-rakan estet membuat persediaan memasang kavadi dan membersihkan kuil.
Malah, saya akan mengikuti rombongan penganut Hindu ke Sungai Kemuning kira-kira satu kilometer untuk upacara mandi suci bagi yang mengambil bahagian dalam perarakan Taipusam.
Hidup di Batu 13 memberikan banyak ruang waktu untuk bergaul dengan masyarakat India. Malah, saya bebas keluar masuk kuil kerana di situlah tempat saya kerap menghabiskan waktu.
Hari ini jaguh kaum bergebang sakan di warung dan kedai kopi; membakar sentimen perkauman dengan rekayasa pelbagai elemen tambahan mengenai isu keganasan yang berlaku di Kuil Maha Mariaman, Seafield USJ.
Kejadian pergaduhan dua kumpulam pada pukul 2.30 pagi 26 November dan terbaru pada 1.30 pagi 27 November dijadikan modal untuk mencela perkauman dan menghasut kebencian berbeza agama.
Rentak perkauman konvensional yang bertapak di warung-warung sejak sekian lama, kini turut bercanang di media sosial. Ribuan komen perkauman kini dihantar secara terbuka di media sosial dengan kata-kata yang berbahaya.
Beginilah keadaan dan petanda – adakalanya bila keamanan teruji, hubungan kaum digodam tanpa had dan batas. Samseng media sosial lebih teruk sikapnya berbanding gengster jalanan.
Apabila saya melihat video viral Kanagarajah dan lidahnya, saya jadi rindu pada kawan-kawan lama. Mereka pasti sebaya dengan Kanagarajah sekarang.
Anak-anak mereka pula barangkali sebaya Manimaran Muniandy, pemuda India yang berusaha menyelamatkan keluarga Melayu yang terperangkap dalam rusuhan jalanan pada malam 27 November lalu.
Keamanan tidak dibina dengan kata-kata dan ucapan politik. Banyak ucapan politik hanya retorik yang ada kala tidak masuk akal. Atau, sekadar kegilaan penuturnya mencari populariti.
Keamanan dibina dengan sikap dan pengalaman.
Justeru saya teringat pesan isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Ali ketika mewawancara beliau pada 1994.
“Elok hantar anak ke kolam renang awam. Biar mereka bergaul bersama kaum lain. Kolam renang tempat bermain yang baik untuk pergaulan pelbagai kaum,” katanya.
Saya selalu ingat pesan itu. Sebab setelah menjadi suami dan bapa, anak-anak dibesarkan di Kuala Lumpur. Kami tinggal di rumah pangsa dan apartmen serta kondominium. Anak-anak tidak punya peluang melalui kehidupan estet untuk bergaul.
Malah, sistem blok rumah mengikut susunan kaum dan agama makin menyukarkan pergaulan anak-anak untuk faham kepelbagaian bangsa dan agama.
Anak-anak belajar di sekolah majoriti Melayu kerana itu sistem taburan penduduk dalam demografi sosial di negara ini.
Cuma, saya meneruskan cara ibu bapa saya. Tiada ruang bercakap soal perkauman di rumah. Malah, apa yang mampu dilakukan ialah menghantar anak-anak belajar tuisyen dengan memilih guru India dan Cina.
Peluang belajar dan berguru serta berada di rumah guru tuisyen ialah proses yang terdaya diusahakan dalam memenuhi harapan saya sebagai ayah yang mahukan anak-anak menyintai kaum lain.
Cuma, perkara paling bahaya dan selalu perlu dikawal ialah menjaga dan menasihati anak-anak untuk tidak percaya pada racun politik.
Sebab ahli politik ialah jaguh perkauman paling bahaya. – 1 Disember, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen