Bukit Aman belum dapat maklumat keldai dadah ditahan di Vietnam


Alfian Z.M. Tahir Christopher Rabin

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohmad Salleh mengesahkan pihak berkuasa Vietnam menahan wanita tersebut pada Rabu dan butiran lanjut mungkin akan diperoleh pada Isnin. – Gambar YouTube, 1 Disember, 2018.

POLIS masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai seorang wanita rakyat Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Tan Son Nhat di Vietnam atas cubaan menyeludup masuk 4kg kokain tulen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohmad Salleh mengesahkan pihak berkuasa Vietnam menahan wanita tersebut pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohmad enggan memberi butiran lanjuta mengenai identiti wanita itu.

“Kami masih belum mendapat butiran daripada rakan sejawat di Vietnam, mungkin pada Isnin,” katanya.

Menurut beliau, wanita berkenaan mendarat di Vietnam dari Brazil dan kemudian transit di Dubai.

“Dadah itu asalnya dari Brazil dan sepatutnya diseludup ke Vietnam,” kata Mohmad.

Menurut laporan awal, wanita itu ditangkap ketika pegawai kastam menemui dua beg berisi serbuk putih yang dibaluti dengan nilon dan disembunyikan di dalam lapisan begnya.

Selepas diuji, pegawai kastam mendapati serbuk putih itu positif kokain.

Semasa disoal siasat, wanita itu mengaku dia diarahkan oleh teman lelakinya untuk membawa dadah itu dari Brazil ke Vietnam dengan upah AS$1,200 (RM5,021). 

Jika sabit kesalahan, wanita tersebut akan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. – 1 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen