Polis tahan 6 lagi individu terlibat rusuhan kuil


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata polis masih bekerja keras memburu suspek walau pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman ditangguhkan dan kawasan di sekitar kuil itu juga kini aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018.

BIARPUN pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya ditangguhkan dan kawasan di sekitar kuil itu juga kini aman, polis masih bekerja keras menangkap suspek yang terlibat dalam rusuhan sehingga mencetus keresahan kepada rakyat negara ini.

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor memberitahu The Malaysian Insight, setakat jam 8 pagi tadi, menjadikan jumlah tangkapan kini mencecah 48 orang.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Awal pagi Isnin lepas, sekumpulan 50 lelaki bertopeng, yang mana ada antara mereka bersenjatakan parang dan batang besi telah menceroboh kuil yang terlibat dalam pertikaian pemilikan tanah dengan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd.

One City mendapat perintah mahkamah untuk memindahkan kuil tersebut ke Putra Heights, kira-kira 2.7 km dari tapak asal. Bagaimanapun, penganut-penganut Hindu kuil itu enggan berpindah.

Rusuhan yang berlaku menyebabkan beberapa orang cedera manakala lebih 20 kenderaan rosak dan dibakar. Seorang anggota bomba cedera parah dan dimasukkan ke hospital. Kumpulan lelaki terbabit juga merosakkan pejabat pemaju di Subang Jaya. 

Menyifatkan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sebagai “dasyat”, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Jabatan Peguam Negara akan bekerjasama dengan polis untuk membawa semua pihak yang terlibat ke muka pengadilan tanpa mengira status mereka.

Thomas juga berkata berdasarkan tahap keseriusan dan sensitiviti perkara tersebut, beliau telah mengarahkan fail kes itu dikendalikan di bawah Ketua Bahagian Pendakwaan, Manoj Kurup. – 1 Disember, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen