TRANSAKSI tanpa tunai dapat membantu menghalang rasuah, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini ketika melancarkan pas pengangkutan awam tanpa had terbaharu.
Beliau berkata inisiatif My100 dan My50 adalah satu contoh Malaysia berusaha ke arah masyarakat tanpa tunai yang membabitkan urus niaga direkodkan dan lebih telus.
“Apabila kita menggunakan wang tunai, ia boleh digunakan untuk rasuah, tetapi tanpa tunai, terdapat rekod, maka apabila tiada rasuah, kos sara hidup akan berkurang,” katanya pada pelancaran pas My100 dan My50 di KL Sentral hari ini.
Mulai 1 Januari, pas My100 membolehkan perjalanan tanpa had setiap bulan di semua LRT, MRT, Monorail, BRT dan bas Rapid, manakala My50 pula khas bagi bas Rapid di sekitar Lembah Klang.
Dr Mahathir berkata pas perjalanan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto pilihan rayanya bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Tetapi beliau berkata kerajaan tidak boleh memberi subsidi kepada semua kerana ia akan menjejaskan kewangan kerajaan.
“Jika kos sara hidup ditanggung (sepenuhnya) oleh kerajaan, maka kami tidak menyimpan apa-apa.
“Wang kerajaan hasil daripada kutipan cukai, yang juga daripada rakyat. Apabila kita menggunakan wang kerajaan, kita menggunakan wang rakyat,” katanya. – 1 Disember, 2018.
Komen