TERKANDAS di sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico dengan harapan tipis untuk masuk ke AS, ribuan pendatang mengambil keputusan menetap di Mexico.
Di bawah program kerja yang ditubuhkan oleh kerajaan Mexico, 2,250 pendatang di bandar sempadan utara Tijuana - daripada kira-kira 6,000 pendatang yang bergerak dari Amerika Tengah - mendaftar untuk mendapatkan pekerjaan, visa dan faedah keselamatan sosial di Mexico.
Program ini dibentuk untuk mendorong mereka tinggal di sini dan tidak meneruskan hasrat ke AS, yang mempunyai upah lebih tinggi tetapi terhalang oleh arahan sekatan dikeluarkan Presiden Donald Trump.
Tetapi ia adalah proses yang panjang: hanya 15 pendatang sahaja yang diambil bekerja setakat ini.
Denny Guevara, 26, dari Honduras, adalah salah seorang daripada mereka.
“Ternyata ini adalah nasib saya,” katanya sambil tersenyum ketika menyusun botol madu di rak-di pasaraya Tijuana, Smart & Final.
“Apa yang saya mahukan adalah kehidupan lebih baik, menyelamatkan diri daripada keganasan di negara saya dan peluang untuk mencari pekerjaan.”
Dia berjaya melakukannya tanpa perlu sampai ke AS.
Seminggu sejak dia tiba di Tijuana, yang terletak di seberang San Diego, California, dia berjaya mencari kerja dan memperoleh surat penduduk.
“Rancangan saya adalah untuk tinggal di sini. Saya fikir saya akan melakukannya dengan baik,” katanya.
Impian dia yang seterusnya: untuk mengumpul wang yang mencukupi untuk dihantar kepada isteri dan tiga anak yang ditinggalkannya di Honduras.
Mula-mula, dia perlu mencari tempat tinggal.
Dia kini tinggal di tempat perlindungan yang ditubuhkan untuk pendatang, yang tidak mempunyai kemudahan sesuai.
Seorang lagi, Yansy Lopez, 23 tahun, beratus menunggu temuduga kerja.
“Mereka menawarkan saya 12 jam sehari membungkus kotak, dari Isnin hingga Sabtu dengan bayaran sebanyak 2,000 peso (kira-kira AS$100) seminggu,” katanya bersemangat.
Dia melakukan kerja yang sama di El Salvador bagi jenama pakaian AS, tetapi berhenti apabila seorang ahli daripada geng terkenal di negaranya menyiksa dan membunuh anak tirinya.
Dia mendapat gaji yang sama di sana, ditambah bonus.
“Saya adalah yang terpantas, saya membungkus lebih banyak kotak daripada sesiapa,” katanya.
“Jika mereka memberi saya kerja di sini, saya sudah pernah melakukannya sebelum ini,” tambahnya dengan senyuman. – AFP, 1 Disember, 2018.
Komen